Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

Jadi gelandangan kerana hilang kerja, pendapatan ketika pandemik
Tarikh : 26 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

fatimah.jpeg

Fatimah (kiri) dan Residen Bintulu Jack Aman Luat serta pegawai perubatan bercakap sesuatu dengan gelandangan yang telah divaksin.

BINTULU: Beberapa individu yang menjadi gelandangan menghadapi masalah kehilangan kerja akibat pandemik COVID-19 sekali gus diharap apabila sektor ekonomi serta pekerjaan dibuka semula, golongan ini akan mendapat pekerjaan, memperoleh pendapatan serta tidak lagi menjadi gelandangan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan temu bualnya dengan dua gelandangan yang menerima vaksin, mereka menyatakan datang dari Kapit ke Bintulu untuk bekerja.

Disebabkan pandemik COVID-19 katanya, ramai yang terjejas dan ada yang hilang pekerjaan, tiada pendapatan, tiada duit hendak menyewa rumah dan tiada
duit untuk membeli barang makanan maka mereka menjadi komuniti gelandangan.

"Apabila keadaan sektor ekonomi, pekerjaan dibuka semula, kita berharap mereka akan dapat pekerjaan serta tidak lagi menjadi gelandangan sebab ada pendapatan," ujarnya bercakap dalam sidang media semasa Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Bintulu malam Sabtu.

Berdasarkan pemetaan seluruh Sarawak katanya, bilangan gelandangan dan dos vaksin yang diterima atau yang sudah divaksinasi sama ada lengkap vaksinasi ataupun tidak, memberi maklumat berkenaan ada gelandangan bersifat sementara atau memang gelandangan tegar. 

"Sifat sementara itu ialah kalau ada pekerjaan mereka tidak akan menjadi gelandangan," jelasnya sambil menambah status terkini jumlah gelandangan di Sarawak adalah 155 orang.

Beliau berkata, daripada bilangan asal cerapan pertama dibuat adalah seramai 123 orang dan yang sudah divaksinasi dos pertama dan kedua masing-masingnya ialah 103 orang (206 orang). 

"Malam ini di Bintulu kita berharap dapat mencari 48 orang. Tiga telah divaksin dan yang lain-lain diharap akan dapat kita jejaki.

"Ini cabaran yang kita hadapi menjejaki mereka sebab kadang-kadang mereka akan berpindah daripada tempat semasa dibuat cerapan pertama, kemudian dibuat 
cerapan kedua mereka tiada di situ," katanya.

Katanya, cabaran kedua, mereka tiada dokumen, hilang dokumen pengenalan diri tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada sistem untuk merekod maklumat mereka dan berharap JKM bahagian termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dapat membantu dalam isu ketiadaan kad pengenalan golongan ini.

"Ketiadaan dokumen itu agak sukar untuk kita mengenal pasti identiti sebaliknya mengharap gelandangan itu sendiri memberitahu maklumat peribadi mereka," katanya.

Fatimah berkata, cabaran lain adalah dari segi rekod kesihatan sebab KKM akan tanya terlebih dahulu sama ada mereka ini ada alahan atau mempunyai kes darah tinggi sebelum proses vaksinasi dibuat tetapi berdasarkan keadaan selepas vaksin didapati mereka dalam keadaan sihat.

"Cabaran lain seperti isu dadah, penyalahgunaan dadah, bahan terlarang dan isu yang terlebih makan ubat disebabkan tidak mengikut preskripsi yang ditetapkan oleh KKM terutama bagi kes orang kelainan upaya (OKU) mental serta mendapat maklumat salah berkenaan bayaran untuk mendapatkan vaksin," katanya.

Beliau menambah, tiada bayaran dikenakan untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

"Kita mahu rakyat kita sihat, selamat daripada COVID-19 ini, kalau ada apa-apa hal berlaku sama ada alahan selepas divaksinasi kita telah bersedia untuk membawa mereka (gelandangan) ini ke hospital sekiranya perlu," ujarnya.