Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

PREMIER SARAWAK SAMBUT BAIK PERUNTUKAN KEPADA NEGERI PADA BELANJAWAN 2024

Posted on 16 Oct 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyambut baik peruntukan RM5.8 bilion kepada Sarawak dalam Belanjawan 2024.

Menurut Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, dana tersebut akan digunakan untuk aktiviti pembangunan di negeri ini.

Beliau menjelaskan, walaupun penambahan itu tidak ketara berbanding Belanjawan 2023, ia mesti dipertimbangkan memandangkan kekangan yang dihadapi kerajaan Persekutuan.

“Ia bukan sahaja terhad kepada peruntukan RM5.8 bilion, tetapi ada juga kementerian lain yang mempunyai peruntukan bajet mereka untuk Sarawak. Dalam erti kata lain, ia boleh melebihi RM5.8 bilion.

“Peruntukan itu juga termasuk untuk pembangunan infrastruktur seperti Jalan Hubungan Sarawak-Sabah (SSLR) serta untuk pendidikan yang saya rasa boleh membantu kami dalam perancangan kami.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2023 Zon Bintulu di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyokong cadangan Pusat Kanser Sarawak di bawah Bajet 2024.

“Pusat Kanser Sarawak ini amat unik kerana ia adalah kerjasama antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Perpaduan.

“Permulaan adalah berdasarkan pemahaman kami bahawa Sarawak juga akan membantu dalam pembinaan penyediaan perkakasan untuk pusat kanser itu,” ujarnya.

Untuk makluman kerajaan pusat telah memperuntukkan bajet berjumlah RM12.4 bilion untuk Sabah dan Sarawak di bawah Bajet 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan bajet negara di Dewan Rakyat berkata RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah dan RM5.8 bilion kepada Sarawak tahun depan, meningkat daripada RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion masing-masing daripada bajet tahun ini.

Hadir sama dalam Sidang Media, Timbalan Yang di-Pertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan dua Naib Yang di-Pertua Kanan PBB, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman