Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

JALAN BAKUN AKAN DINAIK TARAF

Posted on 09 Jul 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Kerajaan mempunyai perancangan untuk menaik taraf Jalan Bakun bagi kemudahan penduduk sekitar. 

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, perancangan tersebut akan memberi impak kepada kira-kira 30 rumah panjang di laluan sepanjang 128.46 kilometer (km) itu. 

“Saya amat memahami tentang kesukaran pengguna jalan raya di laluan ini yang merupakan satu-satunya laluan keluar masuk penduduk di sepanjang Jalan Bakun termasuk Jalan Murum, Belaga, Sungai Asap dan Tubau. 

“Bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan ini, kementerian saya telah melaksanakan penyelenggaraan rutin dengan anggaran kos sebanyak RM4 juta setahun,” katanya dalam Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2023 anjuran Jawatankuasa Bertindak Jelalong Tubau (JTAC) di Rumah Lichong Anak Along, Tubau di sini pada Jumaat. 

Beliau menambah, sebanyak RM17.8 juta telah diperuntuk bagi kerja-kerja penurapan secara berkala untuk Jalan Bakun dari tahun 2018 hingga 2023. 

Manakala, Ahli Parlimen Kapit itu memberitahu, beberapa tindakan segera telah diambil oleh konsesi jalan Persekutuan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek untuk menangani isu jalan berlubang di situ. 

“Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 762 kerja tampalan lubang telah dilaksanakan di laluan tersebut. 

Dato Sri Alexander menjelas lanjut, tiga Arahan Kerja (AK) berjumlah RM6 juta juga telah dikeluarkan pada tahun ini bagi kerja-kerja pembaikan turapan Jalan Bakun yang rosak teruk di mana ia berpunca daripada kelemahan struktur turapan. 

“Jika mengikut standard jalan antarabangsa, jalan ini seharusnya diperbaiki setiap tujuh tahun, namun ia sudah berusia 20 tahun yang mana penyelenggaraannya harus dilaksanakan segera demi manfaat semua pihak,” katanya lagi. 

Namun, beliau tidak menafikan terdapat beberapa cabaran dalam usaha menyelenggara Jalan Bakun khususnya dari Simpang Bakun ke Empangan Bakun dan ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak. 

Tegasnya lagi, pihak penguatkuasaan harus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan dengan lebih kerap memandangkan antara punca kerosakan jalan yang dikenal pasti adalah kenderaan lori yang kadang kala membawa muatan lebih. 

Terdahulu ketika berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon mengusulkan agar Jalan Bakun dipanjangkan supaya dapat menghubungkan Tubau dan Belaga melalui Simpang 4 di Jalan KTS. 

“Ini merupakan satu kemudahan yang boleh melonjakkan ekonomi penduduk kita di pedalaman selain untuk kita mencapai objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di mana infrastruktur jalan sememangnya amat penting,” katanya. 

Dalam majlis tersebut, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lichong telah menerima peruntukan sebanyak RM15,000 masing-masing daripada Dato Sri Alexander, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi. 

Dato Sri Alexander turut memperuntuk RM20,000 kepada JTAC. 

Hadir sama, Datuk Wilson Ugak yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang, Dato Majang yang juga ADUN Samalaju dan isteri Datin Evelyn Hasan, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Pegawai Daerah Kecil Sungai Asap Kuba Lusat, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Jenny Bangga dan Michael Mujah serta Tuai Rumah Lichong Along. -EDISI UKAS 



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman