Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Berita

 

TAMAN PERINDUSTRIAN SAMALAJU BAWA MASUK PELABURAN RM111.73BILLION

Disiarkan pada 06 Mar 2024
Sumber Berita: UKAS SARAWAK

BINTULU: Taman Perindustrian Samalaju berjaya membawa masuk pelaburan mencecah RM111.73 bilion sejak mula beroperasi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jumlah pelaburan yang positif itu memberikan impak positif kepada industri hiliran serta penggiat ekonomi domestik.

Menurutnya, pada masa sama hasil keluaran turut diunjurkan berjumlah RM12.07 bilion dengan jumlah tenaga kerja seramai 10,000 orang.

“Potensi itu ada dan kita telah pun mempunyai senarai syarikat-syarikat yang bakal melabur di taman perindustrian tersebut dengan nilai pelaburan berjumlah RM15.66 bilion di pelbagai peringkat termasuk pelaburan yang diluluskan serta dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Sakura Ferroalloys di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, terdapat banyak lagi projek yang bakal memperkasakan industri di Samalaju.

Jelas beliau, salah satunya termasuk projek saluran paip gas Bintulu-Samalaju yang merangkumi saluran paip gas sepanjang 70 kilometer daripada Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju yang dijangka siap pada penghujung 2025.

“Pengoperasian projek ini kelak akan meningkatkan pengedaran bekalan gas kepada para pengguna di Taman Perindustrian Samalaju, termasuk Turbin Gas Pusingan Tergabung (CCGT) yang masih dalam peringkat pembinaan bagi menaik taraf bekalan gas serta penjanaan kuasa kepada Taman Perindustrian Samalaju,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan isteri Datin Amar Baduyah Bujang, Pengerusi Lembaga Sakura Ferroalloys Sdn.Bhd, Bastiaan Hendrikus Van Aswegen, Ahli Lembaga Pengarah Sumitomo, Yosuke Nakamura dan Pengurus Besar Sakura Ferroalloys Sdn.Bhd, Juan Du Preez.-EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Kemas Kini Terakhir Pada 25 Apr 2025

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
image Undian
image Pengumuman