Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

PROJEK PEMBINAAN JAMBATAN SEBAUH DITERUSKAN, KONTRAKTOR PENYELAMAT DIKENALPASTI

Posted on 11 Jun 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Projek pembinaan Jambatan Sebauh yang tertangguh akan diteruskan semula dalam masa terdekat, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menamatkan kontraktor pertama dan telah mengenalpasti kontraktor penyelamat bagi meneruskan projek tersebut.

“Kita bukan tidak ada duit, cuma kemampuan kontraktor juga memberikan kesan yang kita rasa menyebabkan keadaan ini terjadi.

“Sebab itu, banyak projek-projek yang dianggap sakit tidak dapat diteruskan, pihak kerajaan telah mengambil keputusan menamatkan kontraktor-kontraktor yang tidak mampu untuk meneruskan.

“Jadi kita harap rakyat faham bahawa kita tidak akan meninggalkan projek itu begitu sahaja. Kita akan teruskannya walaupun terpaksa membayar dengan wang yang lebih,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas menyambut ketibaan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka di Daerah Sebauh pada Ahad.

Menurutnya beliau mensasarkan projek Jambatan Sebauh dapat disiapkan dalam tempoh setahun hingga dua tahun sebaik ia disambung semula kelak.

Dato Sri Stephen yang juga Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah bagaimanapun tidak menolak pandemik Covid-19 telah banyak menjejaskan pelaksanaan projek-projek lain di kawasan itu.

Antara projek-projek tersebut adalah pembinaan Stadium Mini Sebauh, masjid, gereja dan jalan.

Beliau dalam pada itu berpuas hati dengan prestasi kontraktor yang berjaya melaksanakan projek mega seperti pembinaan Jambatan Kuala Kemena-Jepak yang bernilai hampir setengah billion.

Sementara itu, Dato Sri Stephen berkata Sarawak mempunyai masa depan yang sangat cerah di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Datuk Patinggi Tan Sr Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Katanya, dasar diperkenalkan oleh Premier Sarawak yang menekankan teknologi, ekonomi dan kaedah baru dalam memacu negeri ini sangat bertepatan lebih-lebih lagi dalam sektor pertanian moden.

“Memang kita mempunyai masa depan yang sangat cerah selagi kita semua bersatu padu dan saling bekerjasama dari akar umbi ke peringkat atasan,” ujarnya. – EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman