Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

ACARA NITI DAUN SIMBOL KESATUAN PELBAGAI KAUN DI DAERAH TATAU

Posted on 08 Aug 2023
Source of News: UTUSAN BORNEO ONLINE

TATAU: Acara Niti Daun (perarakan) yang merupakan salah satu acara terpenting kaum Iban dalam sambutan Gawai harus dijadikan platform bagi menyatukan semua komuniti setempat.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, kalau dulunya acara Niti Daun hanya diadakan pada upacara Gawai tertentu sahaja, namun pada masa sekarang ia harus disesuaikan dengan peredaran zaman.

“Apa yang unik mengenai acara ini ialah ia merupakan perarakan kebudayaan yang menghimpunkan semua etnik yang terdapat di negeri ini bagi bersama-sama berarak dengan penuh semangat kekitaan dalam suasana harmoni,” ujarnya semasa berucap merasmikan Program Niti Daun Sempena Pesta Tatau 2023 di sini, semalam.

Jelasnya, melalui perarakan secara besar-besaran ini secara tidak langsung akan membolehkan setiap kaum dan etnik di daerah Tatau mengenakan pakaian tradisional masing-masing.

Ia jelas Sikie, pada masa sama akan membantu mempromosikan keunikan serta tarikan buat pengunjung dari dalam dan luar negara yang hadir ke tapak pesta.
 

“Apa yang penting, perarakan sebegini akan menjadi wadah baharu buat penduduk tempatan memperkenalkan adat serta budaya setempat bagi menarik lebih ramai pengunjung dari luar supaya datang ke daerah Tatau setiap kali diadakan pesta atau acara lain yang diadakan di sini,” ujarnya.

Beliau dalam ucapannya turut melahirkan rasa penghargaan kepada 18 kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara ini yang melibatkan agensi serta jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

Pada acara Niti Daun ini, gelaran johan disandang Persatuan Peminat Main Asal Iban Bintulu (Pemanis) dan Akademi Main Asal Dayak Bintulu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Gelaran naib johan pula disandang kontinjen Bagatan Pungen yang menerima hadiah wang tunai RM2,000 manakala tempat ketiga pula jatuh kepada kontinjen Kuala Tatau Bersatu yang membawa pulang RM1,000.



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman