Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

SRS KAMPUNG BARU, KAMPUNG DAGANG TATAU DIAKTIF SEMULA

Posted on 29 Mar 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

TATAU: Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi Kampung Baru serta Kampung Dagang Tatau di sini diaktifkan semula sebagai usaha melibatkan penduduk kampung bersama mencegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkata, penglibatan di peringkat kampung atau komuniti adalah amat penting dalam usaha masyarakat bersama pihak polis untuk menjadikan tempat kediaman atau kampung lebih selamat terutama bagi mengelakkan kes-kes kecurian daripada berlaku.

“Oleh yang demikian orang awam terutamanya pihak SRS harus berganding bahu dengan pihak polis untuk mengadakan rondaan.

“Sebarang kegiatan yang mencurigakan harus dilaporkan untuk tindakan segera,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Rondaan Bersepadu SRS Bersama Pegawai Peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Tatau di Dewan Serbaguna Kampung Dagang di sini pada Selasa.

Sementara itu, Pegawai Perpaduan Bintulu Diana Seliman berkata, program SRS itu telah ditubuhkan semenjak tahun 2011 dan manakala inisiatif Jom Ronda Peringkat Daerah Tatau pernah dilaksanakan pada tahun 2015.

Beliau memberitahu, terdapat empat buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan empat buah SRS di daerah Tatau yang meliputi KRT Kampung Baru Tatau, KRT Kampung Dagang Tatau, KRT Pekan Baru Tatau dan KRT Pekan Lama Tatau.

“Namun sehingga kini cuma 2 KRT yang masih bergiat aktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan penduduk di kawasan rukun tetangga iaitu KRT Kampung Baru dan KRT Kampung Dagang Tatau.

“Manakala, pihak Jabatan Perpaduan dalam proses mengaktifkan semula SRS di empat buah KRT ini,”jelas beliau lagi.

Hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan, Pengerusi KRT Kampung Dagang Awang Bujang Pengiran Runa dan Pengerusi KRT Kampung Baru Muhammad Mutalib Putit. -EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 27 Mar 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman