Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

BELIA DISERU LIBAT DIRI DALAM PERSATUAN, MANFAAT PLATFORM DIGITAL

Posted on 15 Aug 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Golongan belia disaran untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kelab atau persatuan serta memanfaatkan platform digital dan media sosial bagi meningkatkan keupayaan diri.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata,  platform digital dan media sosial perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh golongan belia. 

“Kita memerlukan belia matang, celik teknologi dan mempunyai nilai adab serta kesopanan tinggi dan satu platform boleh menyerlahkan potensi mereka dengan bergerak aktif dalam aktiviti berpersatuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng semasa Program Jelajah Genta Belia Peringkat Bahagian Bintulu 2023 di sini pada Ahad. 

Tambah beliau, Belanjawan 2023 telah merangka pelbagai bentuk inisiatif dan program bagi memberi penekanan kepada pembudayaan belia berorientasikan masa depan bagi menangani isu-isu sebenar dihadapi semua kelompok belia di Malaysia.

“Ia meliputi aspek pendidikan, latihan, daya cipta, daya tahan, kemahiran, teknologi, kesukarelawanan, kebersamaan dan tradisi sejajar dengan gagasan Malaysia Madani,” jelasnya.

Justeru, Dato’ Seri Tiong berharap golongan belia dapat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan khususnya dalam memperkasa ekonomi diri dan keluarga demi pembangunan negara yang berterusan serta sebagai pelapis pemimpin negara masa hadapan.

Dalam pada itu, program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu yang berlangsung dari 12 sehingga 13 Ogos ini telah menyajikan pelbagai aktiviti menarik, jualan makanan dan minuman serta peluang pekerjaan kepada para pengunjung.

Hadir sama Penolong Pengarah Cawangan Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara Nurul Farah Dila Abd Wahid, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu Kigen Satong dan Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Bintulu Sharpini Daud. -EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman