Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

IBU BAPA HARUS BERI SOKONGAN TERHADAP AKTIVITI SEKOLAH

Posted on 26 Mar 2023
Source of News: UTUSAN BORNEO ONLINE

BINTULU: Para ibu bapa disaran agar sentiasa menghadiri apa sahaja aktiviti anjuran pihak sekolah terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai tanda sokongan terhadap pihak pengurusan sekolah dan guru yang menabur bakti dalam tugas mendidik anak mereka, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi.

Jelasya, PIBG merupakan satu-satunya perantaraan yang amat berguna antara guru dan ibu bapa dalam menjalankan aktiviti bersama dan pada masa sama bagi membincangkan perkara berkaitan akademik termasuk isu serta permasalahan yang melanda murid pada masa sekarang.

"Sebaik-baiknya para ibu bapa harus meluangkan masa untuk hadir ke sekolah apabila dijemput kerana selain mengeratkan silaturahim bersama pihak pengurusan sekolah, pada masa sama membolehkan mereka mendapatkan ilmu baharu dan saling bertukar pendapat mengenai corak didikan yang harus dipraktikkan pada masa sekarang," ujarnya semasa berucap pada Majlis Penangguhan Mesyuarat Agung PIBG SMK Kidurong Kali Ke-26 Sesi 2023/2025 semalam.

Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju percaya bahawa melalui kerjasama sebegini menunjukkan ibu bapa atau penjaga memahami dan menghayati akan kepentingan pendidikan anak-anak.

Kehadiran ibu bapa pada masa sama ujarnya, turut memberi petanda baik bahawa kejayaan dalam bidang pelajaran tidak hanya bergantung kepada golongan pendidik semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah untuk menjadi penggerak bagi memacu kecemerlangan pelajar secara menyeluruh.

Beliau pada masa sama menyifatkan bahawa asas utama kejayaan anak adalah bermula dari rumah kerana ibu bapa merupakan contoh terbaik kepada anak-anak untuk dijadikan contoh teladan.

"Anak yang cemerlang dalam bidang akademik mahupun bidang lain amat bergantung kepada ibu bapa atau penjaga yang membudayakan ilmu di rumah," jelasnya.

Antaranya menurut Majang ialah sentiasa memastikan anak-anak membuat latihan, membanyakkan membaca buku, membuat kerja rumah atau tugasan yang diberikan oleh guru.



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman