Bersatu Berusaha Berbakti
BINTULU: Satu mini lab Agensi Pembangunan RASCOM (RASDA) telah diadakan bagi merancang aktiviti pembangunan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai memberitahu, perancangan tersebut meliputi jangka masa lima tahun.
“Pelbagai idea dan cadangan telah disampaikan dalam mini lab ini. Selain pembangunan infrakstruktur, kita juga memerlukan peningkatan ekonomi melalui bidang pertanian.
“Contohnya, pemberian bantuan untuk penanaman kelapa sawit serta bantuan lain termasuk dari segi pembungkusan dan pusat pengumpulan hasil pertanian,” katanya dalam mini lab tersebut di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menambah, kawasan di bawah RASDA adalah amat luas dengan DUN Kakus sahaja sudah merangkumi keluasan sebanyak 5,700 kilometer persegi.
Difahamkan, RASDA merangkumi kawasan Parlimen Kanowit dan Parlimen Selangau iaitu DUN Machan, DUN Ngemah, Dun Tamin dan DUN Kakus dengan jumlah keluasan sebanyak 11,431 kilometer persegi.
Sementara itu, Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan memberitahu, kewujudan RASDA dapat mempercepatkan transformasi pembangunan bagi setiap kawasan di bawah tanggungjawabnya termasuk daerah Tatau dan DUN Kakus khasnya.
“Terdapat 89 projek yang dicadangkan untuk dilaksanakan di bawah RASDA bagi DUN Kakus,” tambahnya.
Mini lab tersebut telah disertai oleh 85 wakil dari pelbagai kementerian dan agensi dari bahagian Sibu, Bintulu dan Mukah serta pemimpin akar umbi seperti Ketua Masyarakat dan Ahli-Ahli Majlis.
Perancangan dan pembentangan telah melibatkan empat aspek utama iaitu pembangunan infrastruktur, pembangunan RASDA, pembangunan pertanian dan bukan pertanian serta pembangunan sosial.
Turut hadir, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami dan Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip. -EDISI UKAS