Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

AGONG, PERMAISURI LAYAN RAKYAT DI RUMAH RAYMOND PLEN

Posted on 11 Sep 2023
Source of News: UTUSAN BORNEO ONLINE

BINTULU: Rakyat di kawasan penempatan Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Ulu Sebauh hari ini ceria menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda berdua tiba bersama rombongan di rumah panjang tersebut yang terletak 44 kilometer (km) dari Bintulu sekitar jam 11.45 pagi berkenan mencemar duli dengan tidak kekok melayani kerenah ribuan rakyat yang hadir menyambut Kembara Kenali Borneo di Sarawak.

Berangkat sama ialah anakanda Seri Paduka berdua Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Sementara itu Tuai Rumah Raymond Plen, 56, berkata, beliau bersama penduduk lain berasa amat bangga dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mencemar duli untuk melawat rumah panjangnya.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana memilih rumah panjang kami untuk dilawati baginda berdua.

"Ini julung-julung kalinya antara rumah panjang di Sarawak yang dilawati baginda berdua," ujarnya kepada media semasa ditemui, hari ini.

Dengan rakyat dan tetamu hadir dianggarkan 4,000 orang katanya, ia memperlihatkan rakyat amat menghargai dan terharu dengan lawatan pasangan diraja ini serta memberikan satu peristiwa amat bermakna untuk rakyat melihat raja pemerintah sebagai payung kedaulatan negara mendekati sambil beramah mesra dengan rakyat di sini.

"Kita sangat-sangat mengalukan dan amat berterima kasih atas kesudian baginda berdua datang ke sini," jelasnya.

Katanya, rumah panjang ini didiami 800 penduduk, didirikan pada 1982 dan kini telah berusia lebih 40 tahun.

Dari segi binaannya, ia adalah rumah tradisi kayu yang masih mengekalkan binaan daripada kayu belian. 
 

Pada masa sama katanya, pogram untuk baginda berdua hari ini adalah upacara naik ke rumah panjang, diiring memasuki dan beramah mesra dengan penduduk sepanjang ruai rumah panjang 53 pintu ini, melawat pameran kraf tangan yang dibuat penduduk setempat seperti tenunan kain pua kumbu.

"Yang di-Pertuan Agong seterusnya berkenan terlibat dalam aktiviti memancing dan Raja Permaisuri Agong pula akan memasak lauk tempatan antaranya kari telur, mihun siam, udang masak serai dan ubi goreng serta memasak lemidin sekiranya berkesempatan," katanya.
 

Turut menyambut ketibaan baginda berdua serta rombongan ialah pemangku Yang di-Pertua Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri Datuk Fatimah Mohamad Iskandar, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Tidak ketinggalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki anggota-anggota kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
 

Keberangkatan tiba baginda berdua turut diserikan dengan tarian kebudayaan selamat datang oleh beberapa suku kaum, seterusnya berkenan menandatangani plak Kembara Kenali Borneo, menandatangani buku tetamu, berjalan sambil beramah mesra dengan penduduk sepanjang ruai, beramah mesra dengan pembuat kraf tangan dan pengurniaan bantuan kepada golongan asnaf.

Al-Sultan Abdullah dengan diiringi menteri-menteri telah mencuba aktiviti memancing di kawasan tebingan sungai rumah panjang tersebut manakala Tunku Azizah dibantu beberapa cef memasak hidangan istimewa berupa menu udang galah sebelum baginda berdua mencemar duli dalam majlis santapan tengah hari bersama penduduk yang hadir.

Selain itu, Seri Paduka turut berkenan menyertai acara tarian poco-poco bersama penduduk rumah panjang tersebut.

Selesai program di rumah panjang tersebut sekitar jam 2 petang, baginda berdua dan rombongan meneruskan perjalanan ke Sibu sejauh 213km.

Baginda berdua dijadualkan berkenan menunaikan solat di Masjid Darul Ibadah Tatau sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu.

Kembara Kenali Borneo bermula di Tawau pada 3 September dan bakal berakhir di Telok Melano pada 13 September membabitkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman