Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

KUASAI ILMU, TEKNOLOGI BAHARU UNTUK TERUS MAJUKAN SARAWAK

Posted on 10 Jun 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Kemajuan yang dikecapi Sarawak sejak mencapai kemerdekaan 60 tahun lalu akan menjadi asas untuk memajukan lagi negeri ini bagi tempoh 60 tahun mendatang.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kemajuan dinikmati Sarawak hari ini bertitik tolak dari usaha pemimpin terdahulu dan sekarang yang sentiasa memberikan fokus dan memikirkan cara untuk meningkatkan ekonomi negeri ini.

Dalam hal ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menegaskan rakyat di negeri ini perlu mempunyai ilmu dan melatih anak-anak Sarawak untuk menguasai teknologi terkini kerana negeri ini mempunyai pelbagai sumber.

Beliau menyentuh mengenai penglibatan Sarawak dalam industri pengeluaran bahan bakar penerbangan lestari (SAF) dari alga atau lumut yang menjanjikan masa depan sangat cerah untuk Sarawak.

“Jika dulu kita jumpa gas, sekarang Sarawak boleh ‘menanam’ minyak dari lumut.

“Jadi masa depan kita mengeluarkan minyak pesawat begitu cerah dengan teknologi baru yang kita buat di Sarawak,” katanya berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Komuniti di Hotel Parkcity Everly, Bintulu pada Sabtu.

Dedah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, Sarawak juga mempunyai teknologi baharu menggunakan solar untuk menghasilkan elektrik dengan kapasti tinggi.

Katanya, tenaga solar tersebut mampu menghasilkan 480 kilowat tenaga elektrik yang mampu menjadi penyelesai kepada masalah bekalan elekrik di kawasan luar bandar.

Berucap lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu Sarawak juga diiktiraf negeri yang terkehadapan dalam Ekonomi Hijau dan diakui sendiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Premier Sarawak bagaimanapun menegaskan pembangunan berterusan Sarawak hanya dapat dicapai jika perpaduan dalam kalangan masyarakat terus dikekalkan.

Mengenai perkara ini, beliau amat yakin rakyat berbilang kaum di Sarawak akan mengekalkan semangat kesatuan dan harmoni yang dikecapi sejak dari dulu lagi hingga menjadi contoh kepada kerajaan pusat.

“Perdana Menteri sekarang (Dato’ Sri Anwar Ibrahim) menjadikan Sarawak sebagai contoh perpaduan di Malaysia hingga ‘Segulai Sejalai’ digunakan sebagai moto nasional untuk memperkukuhkan hubungan rakyat berbilang kaum,” tambah beliau.

Selain itu, beliau juga menyeru pegawai kerajaan untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi mencapai visi untuk menjadikan Sarawak wilayah yang kompeten pada tahun 2030 yang mempunyai sumbangan sealiran dengan kehendak dunia.

Sementara itu, Premier Sarawak dalam ucapannya turut meluluskan projek menurap semula jalan dari Miri ke Bintulu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, jalan ini akan dihubungkan kepada jalan pesisir yang sedang dibangunkan dari Samarahan menuju ke Sibu dan seterusnya dari Sibu ke Bintulu.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kenamaan yang lain. – EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman