Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

PEMBERIAN SUMBANGAN SEMASA MUSIM PERAYAAN SERLAH PERPADUAN ANTARA MASYARAKAT

Posted on 19 Apr 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Inisiatif pemberian sumbangan semasa musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri menyerlahkan semangat perpaduan dan toleransi antara masyarakat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming memberitahu, penganjuran program seumpamanya dapat menonjolkan keunikan yang ada pada warga Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

“Program sedemikian dilaksanakan untuk menyemarakkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama serta menunjukkan keunikan yang kita ada di Sarawak.

“Maka, ia diharapkan dapat memberi manfaat kepada golongan memerlukan di samping membuka ruang rezeki untuk lebih banyak lagi inisiatif sosial korporat pada masa depan,” katanya dalam Program Bubur Lambuk dan Sumbangsih Ramadan Media Sarawak 2023 di sini pada Selasa.

Program tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Bintulu.

Dalam pada itu, Presiden FSJA Andy Jong Wan Joon berkata, sejumlah 600 pek bubur lambuk dan 150 pek bakul makanan telah diagihkan kepada golongan memerlukan pada program tersebut.

Antara penerima ialah golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal, warga emas, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

“Simbolik pelancaran program peringkat Sarawak telah dilancarkan pada 25 Mac lepas di Kuching dengan Bintulu merupakan lokasi ke-12 dan yang terakhir.

“12 lokasi ini adalah di Kuching (empat lokasi), Miri (tiga lokasi), Sibu (tiga lokasi) dan satu lokasi masing-masing bagi Lawas dan Bintulu dengan jumlah pengagihan sebanyak 7,700 pek bubur lambuk dan 900 bakul makanan yang ditaja oleh Liansin Trading Sdn Bhd dan Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd,” katanya lagi.

Andy menambah, pelaksanaan program tersebut merupakan inisiatif FSJA bagi menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang untuk meringankan beban mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir, Presiden MACMA Cawangan Bintulu Norhayati Abdullah Lau. -EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman