Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

News

 

KERAJAAN SARAWAK LAKSANA, BIAYA BANYAK PROJEK DI BINTULU

Posted on 26 Apr 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Kerajaan Sarawak melaksanakan dan membiayai banyak projek yang kini dalam pelaksanaan di Bintulu seperti Jambatan Bintulu-Jepak bernilai RM466.68 juta termasuk peruntukan RM135 juta untuk projek pembangunan Jepak Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak merangkap Penasihat Jepak Jaya Development Datuk Talib Zulpilip berkata, projek pembinaan jambatan itu sebelum ini tidak diluluskan oleh kerajaan persekutuan namun Kerajaan Sarawak membiayainya melalui dana sendiri untuk kekal meneruskan projek tersebut.

"Terima kasih Yang Amat Berhormat (Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) atas pembiayaan itu," katanya berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama Premier Sarawak di Dewan Masyarakat Kampung Warisan Jepak di sini malam tadi.

Menurutnya, Premier Sarawak turut memindahkan pusat pentadbiran Bintulu ke seberang Jepak, kini kerja-kerja pembangunannya giat dilaksanakan berikutan kesesakan di kawasan pusat pentadbiran bandar Bintulu.

"Terima kasih sekali lagi kepada Premier Sarawak," katanya sambil memberi jaminan terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan negeri ini.

Talib turut menyatakan kesyukuran memandangkan rakyat negeri ini dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana aman damai dan ukhwah kukuh.

Justeru, penganjuran majlis itu di Kampung Warisan Jepak mempunyai signifikan tersendiri memandangkan kampung tersebut sebuah kampung baharu di bawah projek pembesaran kampung di kawasan Jepak.

"Apabila Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (bekas Ketua Menteri) melancarkan Kampung Warisan Jepak suatu ketika dahulu, saya ada berbisik memohon pengurangan pemilikan (jual tanah lot) dan terus bersetuju mengurangkan 50 peratus bagi pemilik Kampung Warisan amat berterima kasih," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, sambutan perayaan itu memperlihat perpaduan kukuh kalangan penduduk tidak mengira bangsa, agama, budaya dan keturunan.

"Kita perlu kekalkannya, jangan dibiar orang luar memecah belah kita. Kawasan Jepak adalah kubu, saya berani mengatakan kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

"Semasa peristiwa Ming Court 1987, Bintulu dan kawasan Jepak di bawah Kemena sebulat suara menyokong Pehin Sri (Tun Abdul Taib Mahmud) sebagai pemimpin dipilih parti (PBB)," jelasnya.

Begitupun, Bintulu mempunyai sejarah penting sebagai pusat mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama (8 September 1867) dan pernah dua kali diserang lanun namun berjaya ditentang hebat dan ditangkis oleh orang Bintulu dengan mengusir keluar sehingga lanun tidak lagi berani menyerang.

"Begitu kental semangat dan ketaatan kita maka harapan saya, kita yakin terus taat dengan kepimpinan yang ada dan kita di Jepak sebulat suara menyokong kerajaan Premier Sarawak dan tidak berganjak berdiri teguh di belakang pemimpin," katanya.

Premier Sarawak menyempurnakan perasmian majlis ramah-tamah, Surau Al-Muhajirin dan Dewan Masyarakat Kampung Warisan Jepak serta menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.



Hak Cipta Terpelihara © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 05 May 2026

Isnin - Khamis
8:00am - 1:00pm & 2:00pm - 5.00pm

Jumaat
8:00am - 11:45am & 2:15pm - 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
image Undian
image Pengumuman