Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 144H TEKAN KEMAKMURAN, KESEJAHTERAAN & KESYUKURAN

Posted on 28 Sep 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Sambutan Maulidur Rasul bertemakan ‘Sarawak Makmur Ummah Sejahtera’ pada tahun ini menekankan kemakmuran, kesejahteraan dan kesyukuran sebagai asas utama untuk dijadikan nilai bersama.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Aktiviti-Aktiviti Islam Bahagian Bintulu (JTAIB) Abang Zainuddin Abang Turkey berkata, budaya kemakmuran khususnya menekankan kepentingan sifat tolak ansur tanpa mengira agama di mana ia sentiasa dipraktikkan di negeri ini.

Mengambil iktibar daripada Nabi Muhammad S.A.W yang sentiasa berlaku adil kepada masyarakat yang menganuti kepercayaan lain semasa di Madinah, beliau menekankan agar warga Sarawak saling menghormati sesama diri walaupun mempunyai kepercayaan berbeza.

Dari segi kesejahteraan pula, Abang Zainuddin memberitahu, umat Islam perlu memelihara serta menumpukan kepada lima intipati utama maqasid al-Syari’ah iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.

“Islam merupakan agama yang mengutamakan kesejahteraan umatnya. Ini jelas daripada perkataan Islam itu sendiri yang membawa maksud selamat sejahtera.

“Bagi menjamin kesejahteraan hidup umat Islam di dunia dan di akhirat, lima perkara asas ang menjadi intipati utama maqasid al-Syari’ah perlu dipelihara dan diberi perhatian serius,” katanya semasa berucap menyempurnakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M Peringkat Bahagian Bintulu di Dataran Esplanade Bintulu pada Khamis.

Abang Zainuddin menambah, umat Islam juga perlu bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan terutamanya sepanjang 60 tahun Sarawak mengecapi kemerdekaan di mana agama Islam dapat diamalkan dalam suasana aman dan harmoni.

Seramai 6,115 peserta melibatkan 86 kontinjen telah bersama menjayakan perarakan sejauh 3.4 kilometer sempena sambutan pada tahun ini.

Kontinjen terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, pusat kemahiran, institusi pengajian tinggi (IPT), masjid, surau, jawatankuasa kampung, jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun, badan beruniform, firma swasta, syarikat, persatuan, kelab dan pertubuhan yang telah bersedia dengan sepanduk masing-masing seawal jam 6 pagi.

Perarakan bermula kira-kira pukul 7.30 pagi yang diketuai oleh Abang Zainuddin, Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu merangkap Setiausaha JTAIB Ustaz Dzulhadzri Japar Shedik, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Haidar Khan Asghar Khan dan Pengurus Besar BDA Datu Yakub Kari.

Turut diadakan penyampaian beberapa anugerah kepada tokoh pelajar Islam cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta tokoh Ma’al Hijrah 1445H/2023M.

Dalam pada itu, pertandingan sepanduk menyaksikan SK Kampung Jepak menjadi johan bagi kategori sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama swasta, Institut Tahfiz Bintulu juara kategori sekolah menengah, pusat kemahiran dan IPT, johan kategori masjid, surau dan jawatankuasa kampung dirangkul Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jabai dan Pejabat Hutan Wilayah Bintulu memenangi kategori jabatan, agensi kerajaan dan badan berkanun.

Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjuarai kategori badan beruniform, kategori firma swasta, syarikat dan institusi kewangan dimenangi Sime Darby Plantation Bintulu dan Kelab Wanita Ikhtiar Bintulu merangkul johan bagi kategori persatuan, kelab dan pertubuhan.

Bagi pertandingan perarakan pula, SK (A) Majlis Islam Sarawak Bintulu merangkul johan bagi kategori sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama swasta, SMK Kidurong memenangi kategori sekolah menengah, pusat kemahiran dan IPT, Masjid Darul Makmur Kampung Jepak menjuarai kategori masjid, surau dan jawatankuasa kampung serta Badan Harakah Islamiah dinobat johan kategori jabatan, agensi kerajaan dan badan berkanun.

Turut berjaya menjadi johan ialah Jabatan Imigresen bagi kategori badan beruniform, Bintulu Port Holdings Berhad untuk kategori firma swasta, syarikat dan institusi kewangan dan PERYATIM Bintulu dalam kategori persatuan, kelab dan pertubuhan.

Turut hadir, Temenggong Rosli Kamarudin. -EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman