Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

BINTULU DAN MIRI TERUS PESAT MEMBANGUN

Posted on 13 Jun 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Bahagian Bintulu dan Miri terus pesat membangun hasil pembangunan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya sejak 60 tahun yang lepas.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kedua bandar itu kini mudah untuk diakses dengan masa yang singkat dengan adanya jalan perhubungan yang lengkap.

Katanya, ini sangat berbeza ketika era 80an di mana perjalanan dari Bekenu ke Miri sahaja perlu mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai kerana terpaksa menempuh jalan raya berbatu.

“Ini adalah bukti pembangunan yang telah berlaku dalam masa 60 tahun.

“Dan juga di kiri kanan kita dapat melihat apa yang berlaku dari sudut pertanian dan kilang-kilang seperti Samalaju.

“Inilah yang saya nampak apabila menunggang motosikal tadi di mana kita dapat melihat kiri kanan apa yang sedang berlaku dan juga perhubungan rakyat yang begitu mesra,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pameran Digital Sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Naim Street Mall, Bintulu Paragon pada Sabtu.

Menjelas lanjut, Premier Sarawak berkata beliau juga telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Bekenu di atas kejayaan cemerlang pelajar sekolah itu pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

Terdahulu, Premier Sarawak yang mengetuai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka membabitkan hampir 100 kenderaan dan lebih 140 buah motosikal berkuasa tinggi tiba di Bintulu selepas menjelajahi Bandar Miri sejauh 168.3 kilometer pagi tadi.

Antara yang mengiringi beliau ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Industri dan Pembangunan Pelabuhan Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman.

Sebaik tiba di Naim Street Mall, Bintulu Paragon kira-kira jam 3.15 petang, Premier Sarawak disambut oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan kira-kira 500 warga Bintulu.

Turut menyambut ketibaan konvoi ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Seri Tiong King Sing, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai serta dif-dif kenamaan yang lain.

Selepas menyanyikan lagu Sarawak Maju Makmur bersama koir Majlis Seni Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menyempurnakan perasmian Pameran Digital yang melibatkan 14 pempamer terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan TVS.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari kemudiannya meluangkan masa kira-kira sejam melawat Gerai Jualan Usahawan di Naim Street Mall, Bintulu Paragon.

Terdahulu sebelum tiba di situ, Premier Sarawak bersama Konvoi Kembara Sarawak Merdeka singgah di pitstop Kampung Nyalau yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Bandar Bintulu pada jam 1.10 petang.

Ketibaan Premier Sarawak dan konvoi disambut oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi dan disajikan dengan gendang Kedayan dan pukulan kompang. 

Beliau juga melakukan upacara ‘Pusingan Naga’ sebanyak tiga pusingan sebagai tanda ucapan selamat datang di Kampung Nyalau dan mengadakan lawatan ke gerai jualan di kampung berkenaan sebelum meneruskan perjalanan kira-kira jam 1.50 petang. – EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman