Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

29 PROJEK ATASI ISU AIR DI BAHAGIAN BINTULU SIAP DILAKSANAKAN SETAKAT INI : DR. ABDUL RAHMAN

Posted on 24 Mar 2023
Source of News: UTUSAN BORNEO ONLINE

BINTULU: Sebanyak 29 projek bernilai RM215.9 juta, daripada 46 projek keseluruhannya, telah siap dilaksanakan oleh kerajaan negeri setakat ini, bagi menangani isu bekalan air di bahagian Bintulu.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, 11 projek bernilai RM143.2 juta dalam fasa pembinaan, yang sebelum ini tergendala seketika akibat pandemik COVID-19, akan siap pada pertengahan hingga penghujung tahun ini.

"Enam projek lagi bernilai RM407.2 juta masih dalam fasa perancangan," ujarnya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat di Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bintulu yang merupakan destinasi ke-10 dalam rangka lawatan kerjanya ke pejabat JBALB seluruh Sarawak semalam.

Katanya, untuk Bintulu sebanyak 46 projek bekalan air berimpak tinggi bernilai RM706.47 juta telah dirancang dan dilaksanakan untuk menyedia bekalan air bersih dan terawat di seluruh Bintulu.

Beliau berkata, projek-projek ini telah dirancang dengan teliti oleh Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya serta agensi pelaksana JBALB termasuk kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memastikan permintaan bekalan air yang meningkat di Bintulu dapat dilaksana dengan sempurna.

"Sasaran Kerajaan Sarawak ialah setiap isi rumah mendapat bekalan air menjelang tahun 2030 dengan setakat ini, peruntukan RM4 bilion disediakan untuk mengatasi masalah air di `stress area'," jelasnya.

Menurutnya, jumlah tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan 226 projek akan dapat mengatasi masalah itu seluruh negeri.

Pada masa sama katanya, pendekatan diambil untuk memastikan keberkesanan urus tadbir dan pelaksanaan bekalan air Sarawak dengan mencadangkan untuk menggabungkan keempat-empat agensi air di negeri menjadi satu.

"Perbincangan sedang berlangsung ... insya-Allah dalam masa setahun dua ini sekiranya kita dapat selesaikan beberapa perkara, Sarawak akan memiliki satu entiti bekalan air bagi mengurus bekalan air seluruh Sarawak," katanya.

Tambahnya, seperti disaran Premier Sarawak, kementerian bersama agensi bekalan air Sarawak iaitu Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn Bhd selain JBALB telah berusaha untuk memastikan pelaksanaan semua projek bekalan air secara sistematik dan teratur.

Ujarnya, Kementerian Utilti juga sedang berusaha menubuhkan badan korporat yang akan mengawal selia bekalan air di Sarawak serta memastikan utiliti-utiliti di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar dan lebih baik.

"Kita berterima kasih kepada KKDW yang bekerjasama untuk memastikan bekalan air di Sarawak dapat dipertingkatkan," katanya.

Terdahulu, taklimat dan pembentangan berkenaan pelaksanaan projek berkaitan telah disampaikan oleh Pengurus Wilayah Utara JBALB Sarawak Tie Tung Ing dan Jurutera Bahagian JBALB Bahagian Bintulu Lai Kien Hong.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, pegawai mewakili Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing iaitu Ng Kheng Hong dan Pegawai Tadbir Khas ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai iaitu Nyelang Galungan serta ketua-ketua masyarakat setempat.



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman