Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

SARAWAK DESTINASI TUMPUAN PELABUHAN ASING

Posted on 12 Jun 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Sarawak terus menjadi destinasi menarik untuk tumpuan pelaburan asing termasuk dari Republik Korea.

Duta Besar Republik Korea ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata, negeri ini mempunyai polisi dan pelbagai fasiliti yang mampu memudahkan penglibatan pelabur asing.

Katanya, perjumpaan beliau bersama wakil syarikat OCIM Sdn Bhd dan Samsung Engineering khususnya mendapati negeri ini antara lain mempunyai infrastruktur bekalan elektrik yang stabil dan kompetitif untuk keperluan industri.

“Sarawak juga mempunyai sumber semula jadi yang baik serta kelebihan geografi seperti (fasiliti) pelabuhan,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Yeo Seung-bae tiba di Bintulu sempena lawatan kerja sulungnya ke Sarawak yang antara lain bertujuan memahami faktor-faktor yang menjadikan negeri ini destinasi tarikan pelaburan syarikat global dari Korea Selatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengutarakan isu-isu yang dihadapi oleh OCIM dalam usaha syarikat tersebut untuk memperkembangkan loji mereka di sini termasuk keperluan lebih banyak bekalan elektrik serta tenaga buruh mahir.

“Bagi Samsung Engineering pula, isu dibangkitkan berkaitan kelewatan pemprosesan visa.

“Saya pasti, bahagian Bintulu dan kerajaan Sarawak berminat untuk menjadikan tempat ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berjaya bagi semua pelabur asing termasuk dari Korea.

“Jadi untuk merealisasikannya, saya berharap anda (Sarawak) akan mengambil tindakan yang diperlukan untuk menangani isu tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Yeo Seung-bae serta rombongan telah melawat ke Taman Perindustrian Samalaju di mana mereka telah diberi taklimat berkaitan perkembangan syarikat OCIM serta aktiviti yang dilakukan.  

Selain itu, pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) turut memberi taklimat berkaitan Taman Perindustrian Samalaju serta pelabur yang ada di kawasan tersebut sebelum rombongan kemudiannya dibawa mengelilingi kawasan loji OCIM.

Selepas itu, Duta Besar Republik Korea ke Malaysia serta rombongan meneruskan lawatan ke PETCHEM untuk mendengar taklimat serta meninjau perkembangan projek yang dijalankan oleh Samsung Engineering.

Dalam pada itu, Yeo Seung-bae berlepas ke Kuching pada 7.15 malam bagi meneruskan lawatan kerjanya esok.

Antara yang hadir ialah Commercial Attaché Kedutaan Republik Korea di Malaysia Lim Chaeuk, Setiausaha Pertama Kedutaan Republik Korea di Malaysia Yoo Jihan, Setiausaha Kedua Kedutaan Republik Korea di Malaysia Shin Hyeongu serta Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey. -EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman