Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

MYSED GALAK PENAJA KECIL TERUSKAN PERNIAGAAN

Posted on 31 Mar 2024
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) menggalakkan penjaja kecil sama ada sepenuh masa atau bermusim kekal meneruskan perniagaan mereka dalam usaha meningkatkan pendapatan serta menggerakkan ekonomi setempat.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Ripin Lamat berkata, ada peniaga berniaga sepenuh masa dan ada yang bermusim pada acara-acara tertentu contohnya pada festival layang-layang.

Namun katanya, keadaan itu tetap memupuk ciri keusahawanan dalam kalangan peniaga terbabit terutama belia meskipun mereka berniaga sekali sekala.

"Sekurang-kurangnya mereka menunjukkan minat dan insiatif untuk mendapatkan pendapatan tambahan, ini amat kita galakkan," katanya ketika ditemui media mewakili Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa merasmi program Juh Berambeh Sungkei@Bintulu di Lasar Kenyalang di sini, semalam.
 

Katanya, meskipun kadang-kadang mereka membuka perniagaan pada masa tertentu tetapi semangat untuk menjadi usahawan itu tetap ada.

"Kita di MYSED memang galakkan mereka kekal menjadi usahawan, walaupun mereka lebih bergantung kepada sesuatu acara diadakan bagi menarik kehadiran ramai pengunjung, memandangkan dengan cara itu mereka mendapat jualan dan pulangan tinggi," katanya. 

Selain itu katanya, ada yang terlibat menjadi usahawan turut mempunyai pekerjaan lain dan berniaga adalah kerja sampingan apabila ada masa terluang dalam usaha menambah pendapatan.

"Mereka ada kerja sama ada dengan kerajaan atau swasta dan pada malamnya mereka mungkin berjual di pasar-pasar malam," jelasnya.

Justeru beliau melihat penganjuran program Juh Sungkei (berbuka puasa) ini adalah antara usaha untuk menarik ramai pengunjung ke bazar Ramadan dan merancakkan perniagaan seterusnya berbuka puasa bersama di kawasan berdekatan tapak niaga yang sama.
 

Katanya, ini merupakan program MYSED pada bulan Ramadan dengan tiga tempat telah dipilih iaitu Bintulu, Miri dan Kuching untuk masyarakat terutama belia berjumpa dan berbuka puasa bersama.

"Bintulu lokasi pertama, seterusnya di Miri City Fan (Miri) dan Padang Merdeka," jelasnya. 

Dalam ucapan perasmian Ripin berkata, pelbagai latar belakang kaum datang sama-sama berbuka puasa pada program itu, sama juga pada Tahun Baharu Cina dan Gawai diraikan bersama yang menunjukkan kepelbagaian dan perpaduan di Sarawak.

Katanya, keunikan di Sarawak masyarakatnya dapat hidup aman damai, saling menghormati antara pelbagai kaum, latar belakang serta pegangan agama.

"Ini harus kita wariskan kepada belia, anak cucu cicit kita yang akan menerajui negeri dan negara kita pada masa akan datang," tambahnya.

Majlis itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, pegawai-pegawai MYSED, agensi-agensi serta pelbagai pihak terlibat.



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman