Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

picture

News

 

60 TAHUN SARAWAK MERDEKA, SATU TEMPOH PANJANG RAKYAT SARAWAK MERASAI PERUBAHAN

Posted on 21 Jul 2023
Source of News: UKAS SARAWAK

BINTULU: 60 tahun Sarawak merdeka merupakan satu tempoh yang panjang bagi rakyat Sarawak merasai pelbagai perubahan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Perlabuhan Sarawak, Dato’ Majang Renggi berkata begitu banyak kilang sedang dan akan dibina di kawasan Bintulu menjadikan Bintulu sebuah bandar yang pesat membangun di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak akan membangunkan dua kilang hidrogen pada 2024 yang akan dibina di kawasan Tanjung Kidurong.

“Pada masa yang sama, kerajaan Sarawak telah membangunkan pelabuhan hab, diikuti oleh banyak kilang lain seperti OM Materials Sdn Bhd, OCIM Sdn Bhd, Press Metal dan lain-lain yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan.”

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Komuniti sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka, di Rumah Joshua Manit, Bintulu pada Ahad.

Dalam pada itu, Dato’ Majang menyatakan ibu bapa memainkan peranan penting dalam menitikberatkan pendidikan anak anak.

Jelasnya, ini kerana pendidikan amat penting untuk anak-anak mendapatkan peluang pekerjaan khususnya di Bintulu yang begitu pesat membangun.

“Jika kita tidak mengambil berat pendidikan anak-anak, kita hanya mampu melihat kilang ini sahaja.

“Tanpa akademik dan kemahiran yang cukup bagaimana anak-anak kita mendapat peluang pekerjaan yang telah disediakan terutamanya di Bintulu,” tambahnya.

Terdahulu, beliau turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Joshua Manit.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkesempatan menghadiri Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Kampung Nyalau Kali Ke-53 Tahun 2023 di SK Kampung Nyalau, Bintulu.

Dalam ucapannya, beliau berkata beliau menyokong penuh penganjuran program seperti ini kerana sukan adalah sama penting dengan kepentingan akademik.

Jelasnya, para murid perlu merebut peluang ini kerana kejohanan sebegini dapat memupuk nilai-nilai positif serta membentuk modal insan yang berkualiti bukan sahaja dari segi akademik malah dalam bidang kokurikulum.

“Inilah modal insan yang bersifat holistik yang bakal kita lahirkan pada hari ini dan juga pada masa akan datang.

“Diharap hasil daripada kejohanan ini akan mampu menjadi landasan kepada semua murid untuk meningkatkan tahap kesihatan dan minda serta keupayaan diri untuk terus maju dalam perjalanan hidup mereka di alam persekolahan,” ujarnya.

Justeru, beliau beharap ibu bapa dapat terus memberikan sokongan kepada anak-anak untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum kerana potensi dan penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum akan membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum.

“Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak kita sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah. Maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan,” tambah beliau.-EDISI UKAS



Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 25 Apr 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
picture Undian
picture Pengumuman