Bersatu Berusaha Berbakti
Majlis tilawah yang diadakan di Masjid Darussalam, Kampung Baru Darat Bintulu itu turut menyaksikan Hanuan Tihi dan Hamdiah Tihi masing-masing meraih gelaran johan qari dan qariah kategori warga emas.
Seramai 19 peserta terdiri daripada 10 qari dan 9 qariah mengambil bahagian dalam majlis tilawah tersebut.
Majlis penangguhan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Turut hadir Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey dan Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu Ustaz Dzulhazri Japar Shedik.
Iskandar berkata, semua peserta telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan penuh penghayatan.
"Menang atau kalah bukanlah ukuran utama, sebaliknya semangat untuk terus mencintai, membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan seharian adalah yang paling bermakna," katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada johan bagi setiap kategori sekali gus turut berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk mendalami ilmu Al-Quran serta menyemarakkan syiar Islam di daerah Bintulu.
Pada masa sama beliau menyeru masyarakat Islam terus mengimarahkan masjid, surau dan majlis-majlis ilmu dengan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan bersatu padu.
Beliau turut berterima kasih kepada Pejabat Daerah Bintulu, hakim tilawah, urus setia, peserta serta semua pihak yang telah menjayakan penganjuran majlis tilawah tersebut.