Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

News

 

SARAWAKIAN DIGESA MEMAHAMI KEPENTINGAN HARI SARAWAK

Posted on 23 Jul 2024
Source of News: THE BORNEO POST ONLINE
BINTULU (23 Julai): Tarikh 22 Julai 1963 adalah tarikh bersejarah di mana Sarawak diberi kuasa untuk memerintah sendiri selepas 17 tahun berada di bawah pemerintahan British (1946-1963) berikutan Perang Dunia Kedua, kata Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata di sebalik tarikh bersejarah ini, rakyat Sarawak khususnya generasi baharu harus memahami kedudukan Sarawak apabila bergabung dengan tiga wilayah lain untuk membentuk Malaysia pada 1963.

“Dengan pemahaman ini, saya percaya rakyat Sarawak sentiasa bermotivasi untuk mengukuhkan wilayah ini sebagai kawasan yang mempunyai kemampuan untuk setanding dengan tempat lain,” katanya pada sambutan Hari Sarawak 2024 di Bintulu malam tadi.

Menurutnya, Sarawak sudah mempunyai Perlembagaan sendiri pada 1941, selepas 100 tahun berada di bawah pemerintahan keluarga Brooke.

Beliau berkata penggubalan Perlembagaan ini adalah selaras dengan hasrat keluarga Brooke untuk menyerahkan kerajaan Sarawak kepada rakyat Sarawak sendiri, seperti yang dinyatakan dalam ‘The Nine Cardinal Principles’.

“Bagaimanapun, penyerahan ini tidak menjadi kenyataan kerana tercetusnya Perang Dunia Kedua,” tambahnya.

Abang Johari berkata selepas tamat perang, hasrat Sarawak untuk memerintah sendiri tidak menjadi kenyataan kerana keluarga Brooke menyerahkan Sarawak kepada British, yang dianggap lebih selamat kerana Sarawak tidak lagi mempunyai sumber yang cukup untuk memerintah sendiri akibat daripada peperangan yang telah berlaku.

“Apa yang saya ingin nyatakan di sini ialah keadaan tidak menyebelahi Sarawak ketika itu yang sepatutnya menjadi wilayah merdeka dan berdaulat lebih awal daripada 1963,” tambahnya.

Abang Johari berkata Bintulu menjadi tuan rumah sambutan Hari Sarawak 2024 tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan kepentingan Hari Sarawak, yang disambut pada 22 Julai setiap tahun sejak 2016.

Beliau turut menyeru rakyat Sarawak untuk terus bersatu membina Sarawak yang progresif dari segi ekonomi, inklusif dari segi masyarakat dan lestari dari segi pemeliharaan alam sekitar selaras dengan tunggak Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030. .


Copyright © Pentadbiran Bahagian Bintulu
Last Updated On 05 Sep 2024

Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5.00pm

Jumaat
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Sabtu, Ahad & Cuti Umum
Kaunter Tutup
image Undian
image Pengumuman