Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

News

 

JAMBATAN SUNGAI MUPUT SUDAH SIAP, BERI MANFAAT KEPADA PENDUDUK RUMAH PANJANG

Posted on 07 May 2024
Source of News: Utusan Borneo Sarawak

TATAU: Penyiapan Jambatan Muput bakal memberi manfaat kepada penduduk dari 44 rumah panjang termasuk tiga sekolah dan dua klinik iaitu Klinik Kesihatan Nanga Tau dan Nanga Penyarai.

Pegawai Daerah Tatau Jabai Juntan berkata, jambatan menelan kos RM2 juta itu dibina di bawah projek kecil pemulihan dan pembangunan menggunakan Dana Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsensi Hutan (LKWKKH) Daerah Tatau 2023.

"Saya menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada usaha murni Kerajaan Sarawak kerana meluluskan peruntukan membina jambatan ini yang siap sepenuhnya pada awal April ini, iaitu dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian selesai mengadakan program lawatan kerja di bawah kendalian Pejabat Daerah Tatau ke Jambatan Sungai Muput di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Bintulu Zaunuddin Abang Turkey dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua.
 

Jabai berkata, penyiapan jambatan tersebut memudahkan perhubungan penduduk terutama di kawasan Hulu Anap, Hulu Penyarai dan Muput secara keseluruhannya.

Terdahulu, Penghulu Michael Agul mewakili masyarakat di kawasan Hulu Anap-Muput menzahirkan penghargaan serta terima kasih atas jasa kerajaan membina jambatan baharu merentasi Sungai Muput.

"Dengan siapnya projek jambatan ini dapat mengatasi masalah dihadapi penduduk setempat yang kerap menghadapi kesulitan akibat jambatan lama sering rosak dan dilanda banjir," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jabang serta rombongan turut mengadakan lawatan ke projek menaik taraf dewan serba guna dan astaka SK Kelawit yang merupakan salah satu dana daripada projek khas Parlimen Selangau. 

Sebagai rekod, jambatan kayu Sungai Muput sebelum ini sering rosak dan dilanda banjir menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan dunia luar. 



Undian
Pengumuman