Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

5,635 pelajar di Bintulu terima suntikan vaksin COVID-19
Tarikh : 11 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

whatsappimage2021-09-11at160756.jpeg

Seorang pelajar menerima suntikan vaksin yang dikendali seorang jururawat bertugas.

BINTULU: Program vaksinasi COVID-19 untuk remaja berumur 16 dan 17 tahun berjalan dengan lancar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekolah di sini yang menyaksikan 5,635 orang daripada keseluruhan 6,458 pelajar di bahagian ini telah menerima suntikan dos pertama setakat hari ini.  

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat berkata, seramai 6,458 pelajar yang bersetuju untuk divaksin dengan 2,639 pelajar atau 40.9 peratus telah divaksin dua hari sebelumnya di tujuh PPV sekolah.

Tambahnya, untuk hari ini pula seramai 2,996 pelajar lagi menerima vaksin sama diikuti esok (Ahad) membabitkan 780 pelajar.

"Kita menjangkakan proses vaksinasi untuk remaja di Bintulu selesai esok (Ahad). Kalau kita lihat kepada bilangannya yang mana SMK Sebauh dan SMK Tatau turut melaksanaka vaksinasi hari ini untuk tempoh dua hari juga akan tamat esok," katanya ketika ditemui semasa melawat PPV SMK Kidurong di sini hari ini.

Beliau turut diiringi Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Tero Bayel dan Pengetua SMK Kidurong Rosli Salleh.

Residen Bahagian Bintulu itu berkata, PPV sekolah telah menjalankan tugasan amat baik dari segi koordinasi dan persiapannya berjalan dengan lancar hasil kerjasama dengan pihak kesihatan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Beliau berkata, kita telah menjalankan vaksinasi untuk pelajar 16 hingga 17 tahun memasuki hari ketiga sejak program vaksinasi dimulakan pada Rabu (8 September) di PPV di Sekolah Menengah Kai Dee yang melibat 330 pelajar.

Jelas Jack Aman, tujuh PPV sekolah diwujudkan untuk vaksinasi pelajar-pelajar di Bintulu khusus untuk 10 buah sekolah menengah di Bintulu (enam sekolah kerajaan) dan masing-masingnya sebuah sekolah menengah di Sebauh dan Tatau.

Selain itu katanya, ia turut melibatkan sekolah vokasional dan sekolah menengah swasta Kai Dee yang mana proses vaksinasinya turut berjalan dengan lancar.

Menurutnya lagi, vaksinasi secara 'walk-in' juga diadakan bagi pelajar yang menuntut di luar Bintulu misalnya sekolah menengah di Kuching tetapi kini mereka berada di Bintulu boleh mendapatkan suntikan vaksin di PPV SMK Bintulu.