Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

Pembinaan Sistem Perparitan Akan Selesaikan Masalah Banjir Di Kampung Warisan Jepak
Tarikh : 12 Sep 2021  Sumber Berita: UKAS SARAWAK
 

f6aaad34-19a4-44f1-ac03-9cbc43062a56.jpg

BINTULU: Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dengan kehendak dan keperluan penduduk untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan menepati kehendak masyarakat. 

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, pembinaan sistem perparitan di Kampung Warisan Jepak ini diyakini mampu mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kampung ini. 

“Projek  inisiatif Kerajaan Sarawak ini adalah untuk kemajuan dan kesejahteraan semua penduduk khususnya dalam memastikan sistem pengairan dan saliran kampung berjalan lancar.

“Apabila projek ini siap, ianya akan menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap berlaku setiap kali hujan lebat,” katanya semasa berucap melancarkan Penyediaan Kemudahan di Kampung Warisan Jepak Bintulu pada Jumaat. 

Projek pembinaan sistem perparitan sepanjang 2.9 kilometer itu akan dilaksanakan bermula pada 20 Ogos 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2022 dengan kos sebanyak RM3.6 juta.

Ujar Datuk Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, selain sistem perparitan beberapa projek pembangunan lain turut sedang dalam perancangan iaitu pembinaan kemudahan dewan dan surau, dan merancang mengenai tanah-tanah lot untuk perumahan bagi keperluan penduduk. 

Sementara itu, mengulas mengenai Isu pemilikan tanah dan rumah mampu milik di Bintulu, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Haidar Khan Asghar Khan berkata, kedua-dua perkara ini sering dibincangkan bersama dengan Datuk Talib dan telah dikemukakan kepada Ketua Menteri.

“Alhamdulillah, Ketua Menteri sangat prihatin dan peduli masalah-masalah ini dan saya yakin beliau ada penyelesaiannya dan formula untuk menyelesaikan masalah-masalah ini. 

“Kita sama-sama tunggu apabila beliau sendiri datang ke Bintulu nanti untuk membuat pengumuman yang sewajarnya,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pengarah Fully Contractor Sdn Bhd Lim Eng Thang dan Temenggong Rosli Kamarudin.-EDISI UKAS