Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

Lengkap dua dos vaksin, boleh masuk Bintulu tanpa swab
Tarikh : 15 Jul 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

gwscf.jpg

BINTULU: Individu yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 selang dua bulan dari tarikh menerima dos kedua dikecualikan daripada menjalani ujian calitan wajib (swab) sebelum memasuki bahagian Bintulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, Jack Aman Luat yang berkata demikian, bagaimanapun berkata keputusan itu akan dikaji semula pada akhir bulan ini bergantung kepada situasi jangkitan COVID-19 di Bintulu.

Keputusan itu dicapai JPBB menerusi satu mesyuarat selaras dengan negeri ini yang memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia juga akan menggalakkan mereka yang belum mendaftar untuk vaksinasi agar mendaftar segera untuk divaksin sekiranya  mereka ingin memasuki Bintulu.

"Tetapi mereka yang belum divaksin ingin memasuki Bintulu, mereka diwajibkan menjalani ujian calitan COVID-19 dan tempoh sah keputusan ujian calitan itu adalah 14 hari,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Pada hujung Mac lepas, JPBB mewajibkan mereka yang memasuki Bahagian Bintulu agar menjalani ujian calitan bagi memastikan bebas COVID-19 - sebagai satu langkah mengekang penularan wabak tersebut.

Residen Bahagian Bintulu itu berkata, mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting tidak perlu menjalani ujian calitan sekiranya mereka bergerak dari satu daerah ke daerah lain dalam Bahagian Bintulu dan satu-satunya dokumen yang diperlukan adalah dokumen pengenalan diri dan surat dari majikan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata JPBB telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) agar sektor ekonomi di Bintulu dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 9 malam.

Katanya, pindaan pada prosedur operasi standard (SOP) untuk Bintulu telah dikemukakan kepada JPBNS untuk disah dan diwartakan tetapi pada dasarnya, SOP untuk bahagian Bintulu mengikuti SOP negeri.

"Kita berusaha sebaik mungkin untuk mendengarkan luahan akar umbi, membuat penilaian mengenai situasi mereka yang berada dalam sektor ekonomi. Kita cuba mewujudkan keseimbangan, tetapi pada masa yang sama berhati-hati dengan varian baru COVID-19 yang dilaporkan di Sarawak,” katanya.