Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

Aspek keselamatan Tanjung Kidurong perlu diutamakan: JBPM
Tarikh : 02 Dec 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

btu-ub021222-ai-bema-p1.jpg

Mohammad Hamdan (tengah) dan Khirudin (dua kanan) bercakap pada sidang media mengenai BEMA di Bintulu pada Khamis.

BINTULU: Aspek keselamatan Tanjung Kidurong yang menempatkan pelbagai industri termasuk minyak dan gas perlu diutamakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, kerjasama antara industri dan kerajaan telah wujud sekian lama, tetapi Bintulu Emergency Mutual Aid (BEMA) distruktur supaya wujud perjanjian dan persefahaman bersama yang memberi faedah kepada industri.

"Sekiranya berlaku sesuatu (bencana), kita boleh gerakkan sumber-sumber yang ada untuk kita guna secara bersama.

"Ini merupakan praktis yang sudah lazim dilaksana dan diguna pakai di negara maju untuk meminimumkan kos dari segi pembelian peralatan aset dan bahan-bahan yang diperlukan dalam keadaan tertentu semasa mengendalikan sesuatu kejadian bencana," ujarnya pada sidang media di sini, petang Khamis.

Terdahulu, Majlis Menandatangani Manual BEMA antara JBPM dan syarikat-syarikat industri serta pelabuhan Bintulu di kawasan Tanjung Kidurong diadakan di The Peak Ballroom Hotel Fairfield by Marriott, di sini.

Mohammad Hamdan berkata, dengan adanya perjanjian menerusi manual tersebut, pertindihan sumber untuk membeli kelengkapan dan peralatan dapat dielakkan.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Residen yang mengusahakan manual ini. Ia wujud sejak dahulu sebenarnya, tetapi telah ditambah baik dengan pendekatan-pendekatan tertentu hasil penilaian dan pengalaman yang dilalui semasa kes-kes tertentu melibatkan kebakaran dan letupan," jelasnya.

Berdasarkan statistik katanya, JBPM mempunyai rekod baik dari segi kejadian besar melibatkan kebakaran, letupan gas dan bahan petroleum di kawasan industri minyak dan gas.

Justeru katanya, JBPM harus mengekalkan rekod tersebut untuk memastikan aspek keselamatan diutamakan sekali gus mengelak bencana yang merugikan pelaburan bernilai tinggi.

Melalui BEMA katanya, ia merupakan kerjasama baik antara semua industri, JBPM, pihak berkuasa tempatan termasuk Pejabat Residen dan agensi kerajaan lain yang saling membantu kerana jika sesuatu bencana berlaku, ia akan menjejaskan keselamatan semua pihak.

"Ini merupakan manual perkongsian yang memperincikan semua langkah kerjasama melalui pelan strategik bagi mengurus, mencegah dan mengawal kemungkinan pada satu peringkat untuk respons atau menangani apa-apa bencana yang berlaku di kawasan mempunyai tahap bahaya kebakaran tinggi termasuk letupan dan sebagainya," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, BEMA yang sama akan diwujudkan antara pemain-pemain industri yang mengurus loji-loji besar di Samajaya, Kuching bagi mengambil iktibar kepada keadaan yang berlaku di Bintulu. 

Katanya, inisiatif itu telah dimulakan pada tahun 2019, namun terganggu sedikit akibat COVID-19, namun pada awal tahun depan JBPM akan memulakannya semula supaya industri di Samajaya dan Muara Tebas mempunyai perkumpulan entiti yang boleh bekerjasama memberikan perkhidmatan bukan sahaja kepada industri, tetapi juga komuniti.

"Kita ingin meningkatkan komuniti daya tahan supaya mereka boleh menyumbang keberkesanan program-program dan elemen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mencapai kumpulan sasar terutama di Muara Tebas yang melibatkan kampung-kampung nelayan.

"Meskipun risikonya mungkin kurang jika dibandingkan di Bintulu, tetapi kita hendak memperhebatkan kerjasama ini sampai kepada komuniti," tambahnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holding Berhad (BPHB) Dato Mohammad Medan Abdullah, Ketua JBPM Zon 5 Bintulu merangkap Pengerusi BEMA Wan Kamaruddin Wan Ahmad, Pegawai Tadbir Seksyen Perancangan dan Pembangunan Sosial Pejabat Residen Bahagian Bintulu Sharpini Daud yang mewakili Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat dan Pengurus Besar Petronas Carigali Sdn Bhd (Sarawak Asset) Shamsawi Ahmad.