Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

BEMA akan turut hulur bantuan jika berlaku bencana di Bintulu
Tarikh : 02 Dec 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

btu-ub021222-ai-ketuazon-p1.jpg

Ahli-ahli BEMA yang terdiri pengurusan syarikat industri besar di Kidurong merakamkan kenangan bersama (duduk, dari kiri) Sharpini, Khirudin, Mohammad Hamdan, Mohammad Medan, Wan Kamaruddin dan Shamsawi.

BINTULU: Bintulu Emergency Mutual Aid (BEMA) yang melibatkan bantuan kerjasama dalam menangani kes-kes kecemasan turut dimasukkan sebagai salah satu organisasi yang akan bertindak bersama dalam menghadapi bencana di sekitar kawasan Bintulu apabila diperlukan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu merangkap Pengerusi BEMA Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, kepakaran yang ada dan berbeza yang dimiliki oleh setiap ahli dan syarikat dalam BEMA menjadi pelengkap dalam persediaan menghadapi bencana.

"Menyedari kerancakan ekonomi di sekitar kawasan Kidurong, BEMA turut mewujudkan pelan tindakan kecemasan untuk memastikan ahli BEMA mempunyai sumber yang mencukupi dan tindakan kecemasan dapat dilakukan secara sistematik dalam menangani semua bentuk kecemasan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Menandatangani Manual BEMA antara JBPM dan syarikat-syarikat industri serta pelabuhan Bintulu di The Peak Ballroom Hotel Fairfield by Marriott di sini, petang Khamis.

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman dan Pegawai Tadbir Seksyen Perancangan dan Pembangunan Sosial Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Sharpini Daud.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holding Berhad (BPHB) Dato Mohammad Medan Abdullah dan Pengurus Besar Petronas Carigali Sdn Bhd (Sarawak Asset) Shamsawi Ahmad.

Kamaruddin berkata, majlis tersebut mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila manual sebagai sumber rujukan utama ahli-ahli yang terlibat telah siap dibuat.

Menurutnya, setelah hampir 29 tahun sejak ditubuhkan, BEMA telah mengalami banyak perubahan seiring dengan keadaan semasa dalam memenuhi harapan pihak berkepentingan.

Katanya, pelbagai program turut dirancang dan diadakan dalam memastikan ahli BEMA sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan yang bakal wujud.

"Dengan gabungan 13 agensi termasuk JBPM, BEMA telah bekerjasama dengan pelbagai jabatan sekitar Bintulu dan telah melantik Residen Bahagian Bintulu sebagai penasihat," katanya.Jelasnya, penubuhan BEMA telah dibuat seawal tahun 1993 dan antara syarikat yang terlibat serta ahli dalam penubuhan BEMA pada tahun itu ialah ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn Bhd (ABFSB), Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), Bintulu Port Sdn Bhd di bawah Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB), Bintulu Crude Oil Terminal (BCOT), Shell Timur Sdn Bhd, Petronas Dagangan Bhd, Malaysia Airport Bhd, Sarawak Electricity Supply Corporation (SESCO), Bintulu Adhesive Chemical dan JBPM.