Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

Kesihatan Merupakan Aspek Utama Dalam Pembangunan Sumber Daya Manusia
Tarikh : 23 Nov 2022  Sumber Berita: UKAS Sarawak
 

IMG20221123115820.jpg

BINTULU: Selain daripada tahap pendidikan dan kemahiran yang tinggi, kesihatan merupakan aspek utama dalam pembangunan sumber daya manusia. 

Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing berkata, pekerja yang sihat akan memberikan produktiviti dan kreativiti yang lebih baik. 

“Justeru, kita perlu memberi perhatian kepada amalan gaya hidup sihat dan menyediakan persekitaran yang mendukung kesihatan manusia. 

“Teladan gaya hidup sihat kita pada hari ini dan persekitaran sihat yang kita sediakan merupakan pelaburan jangka panjang merentasi generasi anak cucu kita selanjutnya,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Perasmian Jelajah ANMS dan Program Mammogram Bergerak Majlis Kanser Nasional (MAKNA) 2022 Peringkat Bahagian Bintulu menerusi teks ucapan yang dibacakan wakil khasnya Steven Kong Kai Seng di Dewan Suarah Bintulu di sini pada Rabu. 

Mengulas lanjut mengenai Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) ini, beliau yakin bahawa aspirasi ANMS telah wujud dalam diri masyarakat namun perlu digarap agar menjadi lebih tersusun dan terpadu. 

“Oleh itu besarlah harapan saya agar seluruh penduduk Bintulu, agensi kerajaan, swasta dan NGO di sini memberi penekanan terhadap aspirasi teras jenama ANMS ini agar usaha kita dapat diselaraskan dengan kemas,” ujarnya. 

Terdahulu, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang dalam ucapannya memberitahu jelajah ANMS ini bertujuan mempopularkan pembudayaan hidup sihat dalam kalangan individu serta mempromosi aspek kelestarian persekitaran yang mendukung gaya hidup sihat.

Hadir sama wakil Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Maimunah Matali, wakil Pegawai Daerah Bintulu Catherine Sayu Henry Kasi, Pengarah Hospital Bintulu Dr Suzalinna Sulaiman dan Pegawai Pergigian Bahagian Bintulu  Dr. Goh Ee Shung.-EDISI UKAS