Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

Kerajaan Sarawak rancang pendidikan percuma buat anak Sarawak hingga ke peringkat universiti
Tarikh : 13 Nov 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

ub-121122-ar-tabika-p1.jpg

TATAU: Kerajaan Sarawak merancang untuk memberikan pendidikan percuma sehinga ke peringkat institusi pengajian tinggi atau universiti pada masa hadapan, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, bagi tujuan itu, kerajaan Sarawak telah menyediakan Endowment Fund Sarawak (EFS) dengan pemberian sebanyak RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula 2019. 

"Ia bertujuan bagi membantu anak-anak Sarawak sebagai persediaan awal buat mereka sekiranya mereka melanjutkan pelajaran di peringkat universiti pada  masa hadapan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika/Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen P.214 Selangau di Dewan Masyarakat Kampung Dagang Tatau pada Jumaat.

Jelasnya, dalam aspek pembangunan sumber tenaga manusia, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyediakan pelbagai peluang pekerjaan di negeri ini, khususnya di Taman Perindustrian Samalaju (TPS) yang sedang pesat membangun pada masa sekarang.

"Sebagaimana semua maklum, aktiviti perindustrian di Samalaju telah menarik pelbagai pelaburan dari dalam dan luar negara sekali gus membangunkannya sebagai sebuah kawasan perindustrian maju di kawasan wilayah tengah Sarawak ini," ujarnya.

Sikie berkata, generasi hari ini beruntung jika dibandingkan dengan zaman dahulu kerana kanak kanak pada hari ini berpeluang mendapatkan pendidikan awal di peringkat taska dan tadika.

Katanya, dengan adanya pendididikan di peringkat taska dan tabika telah mendedahkan kanak-kanak dengan pendidikan awal yang memudahkan mereka mengikuti pelajaran semasa di peringkat sekolah rendah nanti.Turut hadir Pegawai KEMAS Daerah Selangau Dayang Syariani Awang Jubaidi.