Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 15 Dis 2019
Versi 8.2.2
Masalah, kebajikan penduduk terjejas banjir perlu diutamakan, kata Talib
Tarikh : 10 Nov 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

injautalib-p1.jpg
TINJAU: Talib (dua kanan) bersama rombongan meninjau keadaan Sungai Sebab yang telah siap dibersih, diperluas dan didalamkan oleh JPS Bahagian Bintulu bagi mengatasi banjir kilat di Kampung Kemunting.

BINTULU: Penyelesaian masalah dan kebajikan penduduk perlu lebih diutamakan apabila ia melibatkan banjir kilat di sesuatu kawasan penempatan, termasuk Kampung Kemunting.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, Kampung Kemunting akan dilanda banjir kilat setiap kali hujan sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Talib berterima kasih kepada pihak Pejabat Residen Bintulu, ketua masyarakat, penghulu dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang telah mengambil tindakan membuka parit, longkang, tanah dan Sungai Sebab yang sebelum ini tersumbat telah dibersihkan.

“Menurut penduduk tempatan dan saya juga anak tempatan, sungai ini (Sungai Sebab) mengalir di atas satu tempat yang telah ditimbus (berdekatan belakang kawasan perumahan) sehingga air di sungai ini tidak mengalir lagi,” ujarnya semasa membuat tinjauan di Kampung Kemunting, semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Penghulu Drahman Sisit dan Ketua Kaum Kampung Kemunting Abu Kassim Hamzah.

Talib berkata, mana-mana parit atau longkang tersumbat akan menjadi punca banjir sekiranya hujan, justeru pihak bertanggungjawab perlu turun padang dan melakukan pemeriksaan.

Sekiranya penduduk kampung terbabit menghadapi masalah berulang, Talib berharap mereka mengemukakan aduan sama ada ke Pusat Khidmat Penduduk DUN Jepak dan Parlimen Bintulu, Pejabat Residen atau beliau sendiri menerusi talian 012-8983366.

“Saya berterima kasih kepada penduduk kampung, JPS dan Pejabat Residen, setakat ini saya berpuas hati tetapi sekiranya (masalah) berulang lagi kita tidak akan puas hati kerana kita mahu kebajikan penduduk dipentingkan, jangan banyak sangat alasan,” tegasnya.

Semasa tinjauan itu, Talin dan rombongan diberikan taklimat berhubung kerja-kerja berkaitan oleh jurutek-nik JPS Bahagian Bintulu P’ng Ching Chuang.