Sarawak ID | Register
×

Pentadbiran Bahagian Bintulu

Bersatu Berusaha Berbakti

Polls
Announcements

News & Updates

Pemansuhan ujian calitan rT-PCR, RTK-Antigen disambut baik
Tarikh : 18 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

BINTULU: Keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu memansuhkan ujian calitan rT-PCR atau RTK-Antigen COVID-19 untuk memasuki Bintulu bagi individu lengkap dua dos suntikan vaksin namun masih perlu permit polis berkuatkuasa hari ini amat dialu-alukan bahkan mendapat maklum balas positif dari penduduk di Bintulu dan luar bahagian ini.

Ketua Kaum Kampung Ismail Kuala Tatau, Haliza Mudin berkata, pemansuhan ujian calitan untuk memasuki Bintulu bagi yang telah lengkap dua dos vaksin dilihat akan memudahkan individu tersebut kerana tidak perlu menunggu lama mendapat keputusan ujian calitan seperti sebelumnya contohnya apabila melibatkan kes-kes kecemasan untuk memasuki Bintulu.

"Begitupun setiap orang yang memasuki Bintulu perlu menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi melindungi diri dari jangkitan wabak," ujarnya semasa mengulas mengenai SOP terkini kemasukan ke Bahagian Bintulu hari ini. 

Senada dengannya, Pengerusi Persatuan Anak Tatau (Perantau) Mohd Rizal Julaihi berkata, kelonggaran itu harus dimaanfaat orang awam dengan sebaiknya kerana 
ia memudahkan pergerakan keluar masuk dan melalui daerah terutamanya di Bintulu.

Katanya, sebelumnya SOP bahagian Bintulu cukup berbeza dari bahagian lain sekali gus berharap dengan kelonggaran ini akan mengerakkan lagi sektor ekonomi dan memudahkan ibu bapa serta pelajar kembali ke sekolah atau kampus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) meskipun perlu memohon permit rentas daerah seperti yang ditetapkan JPBB Bintulu.

Dalam pada itu, Kederi Yusof berkata, Bintulu satu ketika digelar sebagai sebuah 'Negara' oleh kebanyakan penduduk kerana SOPnya tidak mengikut bahagian-bahagian lain bahkan turut dibandingkan dengan Brunei.

Katanya, 'Bintulu Darus Swab' menjadi gurauan atau sindiran kerana tidak berpuas hati dengan SOP mewajibkan setiap individu yang masuk ke Bintulu perlu menjalani ujian calitan yang membebankan kerana harga setiap kali ujian calitan adalah tinggi walaupun Bintulu agak berjaya mengawal kes COVID-19 ketika itu sehingga pernah mencapai tiga kes harian.

"Semenjak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan, Sarawak merupakan negeri pertama mencapai imuniti kelompok setelah warganya lengkap menerima dua dos vaksin.

"Sarawak kemudiannya diserang varian Delta hampir seluruh bahagiannya sehingga kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) hampir 90 peratus penuh dan arahan kuarantin kendiri di rumah juga dilaksanakan," jelasnya. 

Bagaimanapun katanya, keputusan JPBNS yang membenarkan pergerakan rentas daerah di Sarawak tanpa perlu ujian calitan kecuali ada permit polis merupakan berita yang menggembirakan.

Namun katanya, kita jangan leka kerana COVID-19 masih ada di sekeliling kita kerana sekiranya silap langkah serta alpa dengan SOP yang ditetapkan akan pasti membawa kepada penularan jangkitan.

"Saya bersetuju dengan pemansuhan ujian calitan ini kerana bagi saya ia akan memudahkan untuk mereka yang terpaksa bekerja ke luar daerah contohnya saya sendiri perlu ke Kompleks Sukan Sungai Asap dan Padang Sukan Belaga untuk membuat pemantauan fasiliti sukan di daerah itu termasuk di Stadium Muhibah, Stadium Bintulu dan Dewan Sukan Tatau," kata penyelia Perbadanan Sukan Sarawak Bahagian Bintulu tersebut.

Azman Drahman yang merupakan pekerja luar pantai sektor minyak dan gas di Bintulu menyifatkan pemansuhan ujian calitan itu amat penting untuk memudahkan pergerakan mereka yang bekerja di sektor penting mesikpun pada dasarnya ujian calitan itu membawa kebaikan bagi memantau kesihatan diri dari jangkitan wabak.

"Mereka yang ingin merentas daerah pula perlu jujur dan sekiranya bergejala atau ada kontak rapat dengan yang positif wabak sebaiknya tidak perlu keluar atau merentas daerah," katanya yang bekerja di bahagian carigali.

Beliau berkata, pekerja luar pantai Bintulu masih perlu melalui kuarantin serta masih menunggu keputusan pengurusan tetapi tempat lain sudah ditarik balik 
antaranya adalah pekerja sektor sama di Miri yang telah kembali ke operasi normal dengan tugasan kerja 28 hari.

"Rentas daerah tanpa ujian calitan selepas lengkap dua dos vaksin sebagai sesuatu yang amat baik tetapi perlu memohon permit polis serta dokumen sokongan menjelaskan bahawa mereka yang berkeperluan penting dan munasabah sahaja dibenar rentas daerah contohnya untuk menjalani kursus ke daerah lain perlu ada surat kelulusan dari majikan, berkaitan kematian perlu ada surat kematian dan sebagainya," katanya.

Ujarnya, pada masa sama pemansuhan SOP sebelum ini amat baik dan satu perubahan positif supaya individu yang berkeperluan penting dapat bergerak rentas daerah serta memberi kelonggaran kepada SOP yang terlampau ketat sebelum ini.

Tetapi katanya, masyarakat perlu jujur dan tidak menipu dengan keadaan kesihatan diri termasuk mematuhi SOP asas seperti memakai pelitup separuh muka, penjarakan fizikal dan sebagainya.

"Sekarang ini kita perlu menjaga diri sendiri dan tidak seharusnya terlalu bergantung kepada kerajaan serta petugas barisan hadapan untuk menjaga diri kita dalam melindungi dari jangkitan wabak," katanya.