Berbohong, berdusta antara sifat tidak berintegriti perlu dihindari
Tarikh : 16 Oct 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

p6hhttyai-talibintegriti-13.jpg
CENDERAMATA: Talib menyampaikan cenderamata kepada seorang penceramah program, Suzita Marikan daripada SPRM sambil disaksi (dari kiri) Hussaini, Majang, Dr Zaliha dan Adana.

BINTULU: Berbohong dan berdusta antara sifat-sifat tidak berintegriti perlu dihindari rakyat agar mereka tidak terpedaya dengan isu-isu tidak benar dijaja pembangkang.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata rakyat diingatkan agar menyedari terutama semasa kempen Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Ingat semasa berkempen yang menjadi mainan mereka. Apa kena mengena dengan integriti? Kerja berbohong, berdusta adalah antara sifat tidak berintegriti,” katanya pada penutupan Program Bicara Wanita dan Integriti di sini semalam.

Program disertai 200 peserta wanita daripada pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertemakan Integriti Menjana Keharmonian dan Kesejahteraan Keluarga anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) Jabatan Ketua Menteri.

Talib merujuk dirinya dilemparkan tuduhan buruk semasa mengunjungi sebuah masjid dibadai angin kencang dan hujan beberapa tahun lalu.

Katanya, jawatankuasa masjid membenarkan saya memakai kasut sama seperti pengerusi, ahli masjid dan pihak lain memasuki masjid bimbang terkena kaca dan paku atas lantai.

“Saya ingin membuka kasut kerana kebiasaan kita buka kasut apabila memasuki masjid, sebaliknya tindakan pembangkang mengambil gambar lalu dibulatkan pada kasut saya pakai sehingga menjadi popular dan didakwa pula saya tidak beradab atas tindakan itu,” jelasnya.

Walhal, tindakan itu bukan disengajakan sebaliknya dinasihati oleh jawatankuasa masjid agar saya memakai kasut kerana bimbang terpijak kaca.

“Tetapi, penipu menuduh saya tidak tahu adab, kaki orang lain boleh pula. Nasib baik ada jurugambar merakam semuanya memakai kasut termasuk pengerusi masjid serta pegawai Majlis Islam,” katanya.

Justeru, situasi itu memperlihatkan bagaimana tindakan pihak terbabit cuba membuat pembohongan dan berdusta.

“Sama juga pelaksanaan pembangunan jalan raya ditunjukkan golongan itu yang rosak dan tidak dijaga dengan baik namun apabila kita menyelidik serta memeriksa bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) jalan tersebut dalam proses naik taraf,” jelasnya.

Katanya, rakyat perlu menyedari sekiranya ada pembangkang membuat cerita pelik-pelik jangan disambung sebaliknya periksa maklumatnya terlebih dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu merujuk sifat integriti Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menepati janji memberi peruntukan membantu pembangunan di sini semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2011, wajar disokong.

Muhyiddin semasa lawatan kerja ke Rumah Sait Jaya melancarkan Pusat Prasekolah SeDIDIK Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sebelum mengadakan tinjauan sekitar bandar Bintulu melihat projek SEDC di rumah panjang terbabit yang hanya menelan kos RM80,000.

“Apabila beliau mengetahui kos sebanyak itu, beliau menambah RM200,000 peruntukan kerana gembira SEDC menjalankan tugas dengan baik.

“Dalam masa dua minggu cek tersebut diterima. Orang begini adalah antara pemimpin menepati janji,” katanya.

Talib turut menggesa wanita bersama berjuang menegak kerajaan yang betul dan lurus untuk faedah rakyat keseluruhannya sekali gus menolak kerajaan menyalah guna kekayaan negara untuk kepentingan diri dan keluarga mereka.

Katanya, integriti perlu diteruskan supaya negeri kita maju dan bergerak maju dan kita perlu meneruskan usaha membantu kerajaan mengangkat nilai integriti ke tahap tinggi.

Hadir sama isterinya, Datin Dr Zaliha Abdullah, ADUN Samalaju Majang Renggi, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pengarah UNION Adana Jed serta ketua-ketua masyarakat.