JKKK disaran rancang kegiatan ekonomi rumah panjang: Sikie
Tarikh : 04 Oct 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

ai-pemimpin-p1-13.jpg
AMANAT: Sikie menyampaikan ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Norma Sanggat, Jalan Samarakan, Tatau kelmarin.

TATAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang perlu menubuhkan Biro Ekonomi bagi memudahkan mereka merangka dan merancang kegiatan ekonomi penduduk setempat.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, apabila biro tersebut ditubuhkan ahli-ahlinya perlu berperanan aktif menggerakkan kegiatan ekonomi, termasuk memupuk keterlibatan penduduk dalam bidang pertanian dan perusahaan kraf tangan.

Dalam bidang pertanian katanya, penduduk boleh mengusahakan ternakan kelulut yang menghasilkan madu untuk dijual bagi me-ningkatkan sumber ekonomi mereka.

“Banyak pokok akasia yang ditanam di kawasan ini berbunga sepanjang tahun mampu menarik kehadiran kelulut,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Norma Sanggat, Jalan Samarakan, Tatau kelmarin.

Sikie berkata, selain usaha penduduk dalam bidang pertanian, kerajaan Sarawak turut memberikan pelbagai bantuan dan khidmat nasihat melalui penganjuran kursus-kursus oleh Jabatan Pertanian ataupun melalui Agriculture Community Outreach Programme (Agri-COP).

Bantuan itu katanya, antara usaha kerajaan menyasarkan pendapatan bagi setiap isi rumah di negeri ini tidak kurang daripada RM4,000 sebulan.

Dalam perkembangan lain, Sikie menyeru JKKK rumah panjang agar turut me-nubuhkan Biro Keselamatan untuk menjaga keselamatan penduduk.

“Biro Keselamatan juga diseru agar lebih aktif melaksanakan peranan mereka de-ngan sentiasa mengingatkan penduduk rumah panjang mengamalkan langkah berjaga-jaga untuk mencegah musibah kebakaran,” jelas Ahli Dewan Undangan Ne-geri (ADUN) Kakus itu.

Pada masa sama katanya, biro terbabit turut berpera-nan memastikan penduduk kampung atau rumah panjang khususnya belia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Pada majlis, itu beliau mengumumkan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) kepada 21 pintu Rumah Norma bagi menggantikan atap rumah tersebut yang telah rosak dan bocor, selain geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM21,000 kepada JKKK dan RM4,000 kepada Biro Wanita Rumah Norma, RM30,000 kepada JKKK Rumah Bair dan RM11,000 kepada Rumah Robinson.

Mengulas mengenai bantuan itu, Tuai Rumah Norma Sanggat berterima kasih kepada kerajaan Sarawak dan Sikie yang telah banyak memberi bantuan termasuk peruntukan RM50,000 kepada gereja rumah panjang mereka.

Hadir sama Penolong Juru-tera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua dan Penghulu Allister Ali Digat serta penduduk setempat.