Peniaga digalak dapatkan lesen agar mudah memohon bantuan
Tarikh : 25 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

usahawan-p1.jpg
PENYERTAAN: Sikie (tiga kiri) menyampaikan sijil penyertaan Kursus Asas Keusahawanan kepada Eju (kanan) sambil disaksikan yang lain.

BINTULU: Penduduk yang menjual hasil pertanian dan kraf tangan digalak untuk mendaftar bagi mendapat-kan lesen meskipun perniagaan diusahakan secara kecil-kecilan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, permohonan untuk mendapatkan lesen tersebut boleh dibuat di pejabat daerah seluruh negeri.

Katanya, memiliki lesen perniagaan akan memudahkan mereka memohon bantuan atau pinjaman daripada pihak kerajaan.

“Pada masa ini, kerajaan banyak membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sama ada melalui khidmat nasihat dan bantuan kewangan atau peralatan perniagaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa penutupan rasmi Kursus Asas Keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Persatuan Dayak Tatau Bintulu (PERDATA) di sebuah hotel terkemuka di sini, petang kelmarin.

Sikie berkata, bantuan perniagaan juga boleh di-mohon dengan berhubung atau melayari laman sesawang Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) serta Kementerian Perda-gangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).

“Bantuan dan pinjaman kepada PKS adalah di bawah Pejabat Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan PKS yang ingin memohon boleh membuat pertanyaan atau mendapat keterangan lanjut berkaitan perniagaan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus tersebut.

Ujarnya, kerajaan juga mengambil maklum kesan COVID-19 kepada PKS, justeru kerajaan Sarawak menyediakan geran khas RM1,500 untuk penjaja dan peniaga kecil negeri ini.

Selain itu katanya, peng-usaha boleh mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan kewangan untuk membeli peralatan daripada pihak Jabatan Pertanian.

Pada masa sama, Sikie menasihati peniaga agar berusaha bersungguh-sungguh ibarat ‘genggam bara api biar jadi arang’ meskipun bermula kecil-kecilan dari rumah dengan menjalankan perniagaan dalam talian ke-rana atas minat dan keazaman tinggi mereka akan mampu menggapai kejayaan.

Enam modul dibentangkan sepanjang penganjuran kursus dua hari itu iaitu ‘Business Model Canvas,’ Perundangan Perniagaan; Asas Pengurusan Perniagaan, Pemasaran ‘Online, Offline’ dan Pengurusan Jualan, Pengurusan Operasi Perniagaan, Pengurusan Kewangan Perniagaan dan Penyediaan Perancangan Perniagaan.

Hadir sama isteri Sikie Datin Melia Gelen, Pengerusi PERDATA Eju Giri, Biskaunselor INSKEN Kuspa Bohari, Pemanca Gerosen Jubin, Penghulu Lubon Kinchang, Penghulu Alister Ali dan Jelia Jemat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).