Mercu tanda ‘Saya Sayang Bintulu’ di Pantai Tanjung Batu sudah siap
Tarikh : 20 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

ercutanda.jpg
TARIKAN BAHARU: Mercu tanda ‘Saya Sayang Bintulu’ yang bakal menjadi tarikan kepada pengunjung ke Pantai Tanjung Batu, Bintulu.

BINTULU: Mercu tanda yang bakal menjadi tarikan baharu di Pantai Tanjung Batu menghadap Laut China Selatan kini siap sepenuhnya.

Kerja-kerja pemasangan perkataan dan simbol hati, ‘Saya Sayang Bintulu’ itu diusahakan oleh Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Bintulu dan di bawah inisiatif Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Pantai Tanjung Batu terus diperindahkan agar suasana tempat itu lebih segar dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung terutama pada cuti umum dan hujung minggu.

Ia bakal menjadi tumpuan orang ramai berswafoto atau merakam memori indah apabila berkunjung ke pantai berkenaan dan bandar Bintulu.

Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi melalui catatan dalam Facebooknya berkata, rata-rata warga Bintulu berpuas hati de-ngan inisiatif mewujudkan mercu tanda itu.

“Terima kasih kepada Noel Yek, Joshua Sia, Nigel Ong dan semua ahli SHEDA kerana usaha ini sangat dialu-alukan bahkan hadiah kepada penduduk dan kawasan sekitar Bintulu,” ujarnya.

Harapan besar adalah mercu tanda itu dijaga dengan baik dan kebersihan kawasan persekitarannya sentiasa dipelihara oleh pengunjung, katanya.