Syukuri nikmat kemakmuran hasil pembangunan negeri
Tarikh : 17 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

p5tytbtu-ub160920-ai-talibh.jpg
BERMULA: Talib (tiga kanan) melepaskan peserta Program Kayuhan Malaysia Prihatin sempena Hari Malaysia 2020 sambil disaksikan Pengiran Hamdan, Hussaini, Johnny (kiri) dan tetamu lain.

BINTULU: Generasi baharu dan lama wajar bersyukur kerana dapat menikmati kemakmuran serta pelbagai peluang hasil kemajuan pesat pembangunan di negeri ini termasuk di bandar Bintulu.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, kemajuan pesat bandar Bintulu memperlihatkan bahawa kerajaan yang mentadbir dan sumber ekonomi yang ada di negeri ini diuruskan dengan baik.

Katanya, kalau pada generasi beliau, apabila disebut 16 September, teringat peristiwa lama sambutan Hari Malaysia, menaikkan bendera (Jalur Gemilang) sekitar 57 tahun lalu di padang dengan keadaan Bintulu pada masa itu adalah sebuah tempat kecil.

“Mungkin ramai (peserta) yang belum lahir atau baharu dilahirkan atau mungkin hanya bapa-bapa peserta yang merasai atau mengalami peristiwa itu,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu berkata demikian semasa menyempurnakan pelepasan peserta berbasikal Program Kayuhan Malaysia Prihatin sempena Hari Malaysia 2020 di hadapan laluan Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1 di sini, malam kelmarin.

Talib berkata, apabila mengimbau kembali, generasi hari ini dapat melihat pembangunan pesat Bintulu dari sebuah tempat kecil sekarang menjadi sebuah bandar besar.

Katanya, keadaan itu membuka banyak peluang kerja (dalam industri), kenderaan semakin banyak, pembinaan rumah cantik serta tapak disediakan oleh kerajaan yang memperlihatkan ekonomi bahagian ini dipegang dengan betul bahkan beliau sendiri pernah bekerja di ASEAN Bintulu Fertilizer (ABF).

“Betapa perubahan di Bintulu (cukup besar), itu (memberi) rezeki kita di Bintulu,” katanya sambil berharap semua nikmat yang diperolehi itu perlu disyukuri dan dihargai rakyat.

Pada masa sama Talib menyatakan rasa syukur kerana kelonggaran diberikan oleh kerajaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) dalam membendung pandemik COVID-19.

“Tetapi inilah rahmat negara kita dalam bulan kemerdekaan, kita dapat berkumpul dan bersukan.

“Alhamdulilah, apa sebab kita mengucap syukur (kerana) adanya rakyat Malaysia yang mematuhi SOP sehingga COVID-19 dapat dikawal.

“Ini hadiah untuk kita kerana dapat kawal walaupun belum berakhir sepenuhnya, namun ini adalah pencapaian kita, kita yang patuhinya,” tambahnya.

Talib turut menyifatkan keadaan mungkin membawa risiko lebih buruk sekiranya belia atau penduduk kampung tidak mematuhi PKP tanpa kawalan yang akan membawa kesukaran bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan anak cucu.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1 merangkap pengerusi program Pengiran Hamdan Pengiran Kerta berkata, seramai 300 peserta menyertai program tersebut yang pada awalnya jangkaan adalah sedikit.

“Penghargaan kepada kelab-kelab basikal atas sokongan itu dan program diadakan ini sempena Hari Malaysia adalah memperingati hari bersejarah tersebut, sekali gus dapat merainya penuh ceria dan bersemangat,” ujarnya.

Program tersebut merupakan anjuran Kumpulan Berbasikal Assyakirin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Assyakirin Fasa 1, Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga Kampung Assyakirin Fasa 1.

 Hadir sama Timbalan Residen Bintulu Hussaini Hakim, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Haidar Khan Asghar Khan, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Bintulu Diana Seliman, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP) Tanjung Batu (Bintulu) Johnny Pang, Pemanca Awang Merais Pengiran Ismail dan ketua-ketua masyarakat.