Bidang pertanian mampu menjana pendapatan tinggi
Tarikh : 10 Sep 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

p5rgt5pertanian-p1-14cm.jpg
AMANAT: Majang (kiri) semasa berucap pada program penutupan AgriCOP 2020 di Rumah Jaraw Sumok Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong, baru-baru ini.

BINTULU: Penduduk harus bijak memanfaatkan peluang untuk memajukan diri dengan menceburi bidang pertanian yang pada masa ini mampu menjana pendapatan tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi berkata, populasi semakin meningkat dengan perkembangan pesat industri terutama di bahagian ini menjadikan pertanian berasaskan makanan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.  

Beliau berkata, semakin bertambah populasi dan perkembangan pesat industri maka semakin banyak bahan makanan diperlukan terutama dalam sektor pertanian.

Katanya, keadaan itu menjadikan pertanian sebagai sektor yang berpotensi untuk menjana pendapatan kepada pengusahanya atau sesebuah keluarga yang menceburi bidang berkenaan.

“Untuk memenuhi keperluan itu, penduduk harus segera merebut peluang untuk menjana pendapatan dan memajukan diri,” ujarnya berucap pada Majlis Penutupan Agriculture Com-munity Outreach Programme (AgriCOP) 2020 di Rumah Jaraw Sumok, Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong di sini, baru-baru ini.

Justeru katanya, kerjasama dan hubungan dengan Jabatan Pertanian serta agensi kerajaan berkaitan perlu diperkukuhkan untuk mendapat maklumat dan menyertai kursus berkaitan pertanian.

Menurutnya, semua harus peka tentang peningkatan jumlah penduduk di Kidurong dan Samalaju adalah kesan perkembangan pesat pembangunan industri di kawasan itu dalam industri minyak dan gas serta dua pelabuhan laut dalamnya yang sekali gus membuka peluang kepada penduduk terlibat sama dalam perniagaan lain.

Antara yang terbaharu katanya, Kerajaan Sarawak kini memfokuskan pelannya untuk membangunkan Hab Petrokimia di Kidurong yang bakal mewujudkan 70,000 peluang kerja.

Terdahulu, seramai 150 peserta menghadiri program tersebut yang memfokus kepada pengembangan teknologi penanaman, pengawalan makhluk perosak dan Amalan Pertanian Baik (myGAP) agar dapat meningkatkan hasil pertanian serta meningkatkan pendapatan keluarga petani sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

Turut hadir Pemangku Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun, Temenggung Utong Sigan dan Penghulu Man Imbak.