Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 15 Dis 2019
Versi 8.2.2
Contohi integriti Nabi Muhammad SAW
Tarikh : 10 Nov 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

19-ai-talib-p1-19cm (1).jpg
BERSATU: Talib (dua kiri) mengetuai perarakan bersama Ustaz Azhar (tengah), Jack (belakang, empat kanan), ketua-ketua masyarakat, umat Islam serta kontinjen yang mengambil bahagian, semalam.

BINTULU: Keperibadian tinggi Nabi Muhammad SAW harus menjadi pedoman umat Islam termasuk berintegriti dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan rahmat kepada seluruh alam.

Beliau berkata, kesan kelahiran baginda memberi harapan besar kepada umat manusia sehingga berjaya membawa perubahan dunia jahiliah di tanah Arab pada waktu itu kepada Islam.

Katanya, kelahiran baginda juga sebagai al-amin iaitu pemimpin yang bersifat amanah dan jujur.

“Rasulullah pada waktu mudanya merupakan ahli perniagaan, tidak menipu dalam caranya berniaga, melakukan kerja sepenuhnya dengan baik yang mana boleh menjadi contoh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu 1441H/2019M bertemakan ‘Ummah Gemilang’ sebelum mengetuai perarakan bermula dari Dataran Esplaned mengelilingi beberapa laluan di pusat bandar Bintulu, semalam.

Talib berkata, dalam kehidupan hari ini seluruh masyarakat harus bersatu padu meskipun berlainan parti politik dan mengelak daripada terikut-ikut dengan pihak tertentu yang gemar bertelingkah.

“Rasulullah dan para sahabat adalah berintegriti tinggi dengan amalan serta cara mereka mentadbir, berkembang bukan sahaja di tanah Arab bahkan ke Afrika, Eropah dan lain-lainnya yang mana konsep integriti membawa kepada kemajuan ummah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu merangkap Setiausaha Tetap Jawatankuasa Tetap Aktiviti-Aktivi Islam Bintulu (JTAIB) Ustaz Azhar Hipni berkata, sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah dalam tugasnya menyebar dakwah Islam.

“Baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah tidak sekali-kali terlintas dalam jiwanya,” ujarnya.

Justeru katanya, sempena dengan sambutan Maulidur Rasul, umat Islam perlu sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat menegak syiar Islam sehingga terpancar kegemilangannya merentasi dunia timur dan barat.

Terdahulu, sebanyak 92 kontinjen merangkumi 6,000 peserta menyertai perhimpunan dan perarakan sempena sambutan tersebut.

Hadir sama isteri Talib Datin Dr Zaliha Abdullah, Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi JTAIB Jack Aman Luat, penceramah jemputan Imam Muda Megat Mohd

Zaid Megat Azmuddin, Temenggung Rosli Kamaruddin, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.